Lapan lelaki ceroboh taman laut ditahan dalam OBK

Lapan lelaki ceroboh taman laut ditahan dalam OBK

Kota Kinabalu: Padah menangkap ikan di kawasan Taman-Taman Sabah (TTS), tujuh lelaki ditahan selepas disyaki menceroboh kawasan larangan di Pulau Tiga, di sini, di sini, semalam.

Op Bersepadu Khazanah (OBK) jam 4.27 petang itu dijalankan Pasukan Tiger Platoon Batalion 16 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kota Kinabalu bersama Renjer TTS dan Jabatan Perhutanan Sabah.

Turut serta dalam OBK iaitu Unit Dron dari Pasukan Gerakan Udara (PGU), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, penahanan itu susulan pemantauan melalui udara oleh Unit Dron PGU yang mendapati terdapat sebuah bot disyaki berada dalam kawasan larangan.

Katanya, berdasarkan maklumat itu, Pasukan Tiger Platoon Batalion PGA Kota Kinabalu bersama Renjer Taman-Taman Sabah dan Jabatan Perhutanan ke lokasi bot berkenaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot itu berada di dalam kawasan larangan Taman-Taman Sabah di Pulau Tiga.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat tujuh lelaki berusia lingkungan 18 hingga 35 tahun berada di atas bot itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas pelbagai peralatan disyaki untuk menangkap ikan.

Katanya, tangkapan dan rampasan kemudian dibawa ke Stesen Pentadbiran Taman Pulau Tiga untuk siasatan lanjut.

“Barang rampasan diambil tindakan oleh pegawai penyiasat TTS dan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM520,000.

“Kes disiasat mengikut Enakmen Taman 1984 Pindaan 2007,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki bersama bot yang dinaikinya kerana melakukan kesalahan menceroboh kawasan larangan di perairan Taman-Taman Sabah Pulau Tiga, jam 7.35 malam, hari yang sama.

Katanya, lelaki berusia 41 tahun yang ditahan itu warga Filipina dan jumlah rampasan dianggarkan RM35,000.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|