NGO mahu pembangkang fikir semula tawaran kerjasama dengan kerajaan

NGO mahu pembangkang fikir semula tawaran kerjasama dengan kerajaan

Kota Kinabalu: Walaupun parti pembangkang menyuarakan bantahan terhadap cadangan kerjasama bipartisan disuarakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat lalu, beberapa persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) di Sabah tetap mahu agar cadangan itu difikirkan sewajarnya.

Gabungan Persatuan Belia Bahagian Pantai Barat Selatan, berpendapat cadangan dikemukakan Perdana Menteri itu adalah sesuatu di luar kotak pemikiran rakyat yang wajar diberi pertimbangan semua pihak.

Ketua Penerangannya, Effendee Khairul Kadrie, berkata pembangkang sepatutnya menerima tawaran untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi menyelesaikan masalah negara dan mengetepikan kepentingan politik buat sementara waktu.

Katanya, tawaran Perdana Menteri itu jelas menitikberatkan soal rakyat dan menstabilkan krisis politik berbanding segelintir pemimpin yang hanya mementingkan kuasa semata-mata.

“Seperti yang diketahui umum, isu utama negara ialah Covid-19 yang meragut banyak nyawa dan ia bukanlah perkara yang boleh dimain-mainkan seperti segelintir pemimpin yang lebih mengutamakan kedudukan mereka.

“Seharusnya, semua pemimpin parti politik dalam negara harus fokus kepada menyelesaikan krisis kesihatan Covid-19 dan memulihkan keadaan negara bersama-sama,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata, negara bakal mencatat sejarah yang indah jika semua pemimpin parti politik sebulat suara dan bersatu hati dalam memberikan input membawa negara keluar daripada segala kemelut yang dihadapi.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengkarya Filem dan Dokumentari Bebas Sabah, Mohd Aliff Azmie, berkata keadaan politik negara tidak akan reda jika Muhyiddin meletak jawatan seperti dikehendaki pembangkang dan pemimpin yang memutuskan hubungan dengan kerajaan pimpinannya.

Beliau berkata pemimpin terbabit juga tiada majoriti untuk menjadi Perdana Menteri dan mengambil alih kerajaan, manakala selebihnya juga berdepan kes mahkamah.

Akhirnya beliau berkata, Yang di-Pertuan Agong terpaksa sekali lagi melakukan perkara sama yang dibuat pada tahun lalu iaitu memanggil satu persatu Ahli Parlimen untuk menentukan siapa pemimpin mendapat sokongan majoriti menjadi perdana menteri.

“Andai kata apa yang menjadi kegilaan segenap lapisan masyarakat mahukan Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan sekarang menjadi kenyataan, persoalan seterusnya siapa yang menggantikan beliau selepas itu?

“Anwar Ibrahim? Beliau sehingga hari ini gagal mengemukakan berapa jumlah sokongan terhadap beliau. Betulkah geng kluster mahkamah menyokong beliau? Jika betul, mahukah DAP bersama-sama blok mereka? Sudah tentu tidak.

“Zahid Hamidi? Najib Razak? Mereka-mereka yang sedang menunggu nasib perbicaraan di mahkamah kerana salah guna kuasa? Menyamun duit negara? Najib sendiri sudah terbukti bersalah di mahkamah.

“Dengan semua yang menawarkan diri sekarang untuk menjadi Perdana Menteri seterusnya, adakah mereka semua mempunyai majoriti yang cukup? Sudah terang lagi bersuluh,” katanya.

Katanya, pembangkang seharusnya menyahut tawaran bekerjasama dengan kerajaan dalam usaha menyingkirkan golongan kleptokrat kerana itu yang dimahukan mereka demi kepentingan rakyat dan negara terutama dalam tempoh pandemik sekarang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|