Covid-19 Sabah: Tawau dan Sandakan catat kes tertinggi hari ini

Covid-19 Sabah: Tawau dan Sandakan catat kes tertinggi hari ini

Kota Kinabalu: Daerah Tawau dan Sandakan hari ini mencatat kes baharu Covid-19 tertinggi, masing-masing dengan 245 kes dan 244 kes, mengalahkan jumlah kes yang dicatat di Kota Kinabalu yang hari ini hanya merekodkan 207 kes baharu.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, bagaimanapun berkata jumlah kes di Tawau menunjukkan penurunan sebanyak 16 kes berbanding 261 kes semalam, manakala Kota Kinabalu mencatat penurunan tertinggi 229 kes berbanding 436 kes semalam.

Katanya, hanya Sandakan mencatat peningkatan ketara dua kali ganda hari ini berbanding 113 kes semalam berikutan peningkatan kes melalui saringan kontak rapat yang menyumbang 65.2 peratus daripada jumlah kes di daerah itu.

“Jumlah kes harian di Sandakan naik dua kali ganda ke 244 di mana 65.2 peratus adalah melalui saringan kontak rapat. Kes di Kinabatangan juga naik mendadak daripada 15 ke 152 kes hasil saringan dalam kalangan penduduk di Kluster Tangkuyan (128 kes).

“Kes di Penampang berkurangan 100 kes hari ini tetapi Papar menambah 38 kes baharu. Kes baharu di Tuaran juga berkurangan sebanyak 55 dan Keningau turun 31 kes. Daerah Tongod pula menambah 21 kes hari ini, Tambunan 18 kes dan Kota Belud 21 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Secara keseluruhan, katanya jumlah kes baharu Covid-19 di Sabah hari ini menurun kepada 1,665 kes berbanding 1,752 kes semalam, dipengaruhi penurunan ketara di Kota Kinabalu.

Bagaimanapun, katanya ia bukan petunjuk penurunan yang kekal kerana catatan kes baharu sentiasa turun dan naik setiap hari.

Sementara itu, katanya saringan kontak rapat kekal penyumbang utama keseluruhan kes di Sabah dengan 915 kes (55 peratus), diikuti saringan bergejala sebanyak 390 kes (23.4 peratus) dan kes daripada kluster sebanyak 226 (14 peratus).

“Hampir 37 peratus kes di Kota Kinabalu adalah daripada saringan bergejala, diikuti 31.4 peratus di Tawau, 41.4 peratus di Penampang dan 44.6 peratus di Tuaran,” katanya.

Katanya, tiga kluster baharu turut dilaporkan hari ini iaitu Kluster Tangkuyan, Kinabatangan yang merekodkan 129 kes termasuk 128 kes hari ini, Kluster Paka Kawiyan di Ranau yang mencatat 41 kes termasuk 13 kes baharu hari ini dan Kluster Segama Batu 1 di Lahad Datu yang mencatat 18 kes termasuk 11 kes baharu.

Masidi berkata, 386 orang atau 24.2 peratus daripada jumlah pesakit hari ini adalah dalam kategori 1, diikuti 751 orang (45.1 peratus) dalam kategori 2 dan 517 orang (31 peratus) masih dalam siasatan, manakala lapan orang dalam kategori 3, dua orang dalam kategori 4 dan satu kes dalam kategori 5.

Mengenai perkembangan vaksinasi, katanya sehingga semalam 45.4 peratus atau 1,251,184 daripada penduduk dewasa di Sabah sudah memperolehi satu dos suntikan vaksin manakala 21.7 peratus atau 599,823 orang sudah melengkapkan dua dos vaksin.

“Peratusan penerima dua dos lengkap dijangka bertambah minggu hadapan apabila lebih ramai penduduk akan memperolehi dos kedua mereka,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|