Nenek 101 tahun jadi contoh penerima vaksin

Nenek 101 tahun jadi contoh penerima vaksin

Tuaran: Seorang nenek berumur 101 tahun yang hadir melengkapkan suntikan dos kedua vaksin Covid-19 di Klinik Tenghilan, di sini, dijadikan contoh kepada penduduk setempat agar tidak ketinggalan mendapatkan vaksin.

Perkara itu disuarakan Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Jahid Jahim yang meninjau Program Jangkauan Luar Vaksinasi Dos Kedua di Klinik Kesihatan Tenghilan, Tamparuli, hari ini.

Kehadiran nenek Kagus Longguan, itu katanya patut dijadikan contoh dan pencetus semangat kepada semua penduduk di sekitar Tenghilan dan tempat lain mengenai pentingnya mengambil vaksin Covid-19.

“Kita jadikan nenek Kagus Longguan, yang berusia 101 tahun ini sebagai contoh terbaik bahawa umur bukan penghalang untuk kita mendapatkan vaksinasi Covid-19 ,” katanya.

Kagus yang berasal dari Kampung Lapai, Tenghilan adalah antara 500 penduduk sekitar Tenghilan yang hadir mendapatkan vaksin dos kedua melalui program jangkauan luar di Klinik Kesihatan Tenghilan.

Turut hadir ialah Pengerusi Panel Penasihat Klinik Kesihatan Tenghilan, Raisin Gagah; Penyelia Kemajuan Masyarakat Tamparuli, Boe Sindolun, dan beberapa pemimpin masyarakat lain.

Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, berkata tinjauannya mendapati program itu diurus dengan cekap dalam usaha memastikan pemberian vaksin dapat ditingkatkan hingga ke peringkat akar umbi.

Sementara itu, katanya sambutan menggalakkan penduduk kampung terhadap program vaksinasi di kawasan Tamparuli menunjukkan penduduk semakin yakin dan faham mengenai kepentingan mengambil vaksin Covid-19.

“Saya berasa teruja dan tersentuh atas sambutan positif warga Tamparuli sejak akhir-akhir ini atas sokongan dan kesedaran mereka mengenai pentingnya vaksinasi Covid-19.

“Kita tahu bahawa selain menjaga prosedur operasi standard (SOP), satu-satunya harapan kita untuk kembali kepada tahap wabak yang terkawal adalah melalui program vaksinasi, jadi saya harap tidak ada yang melepaskan peluang ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|