Penduduk sambut baik SOP baharu masuk pasar raya di Sabah

Penduduk sambut baik SOP baharu masuk pasar raya di Sabah

Kota Kinabalu: Pengguna di Sabah rata-ratanya menyambut baik pengumuman kerajaan negeri hanya membenarkan orang awam dan pekerja lengkap vaksin Covid-19 untuk memasuki premis perniagaan khususnya pasar raya dan restoran.

Tinjauan di pasar raya Servey Hypermarket Putatan mendapati ramai pengguna bersetuju dengan pendekatan diambil kerajaan berkenaan namun terdapat orang awam turut berpendapat pihak kerajaan perlu memberi masa kepada semua pasar raya membuat persediaan sebelum melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) terbaharu itu.

Pelanggan Servey Hypermarket, Christinus Jesie, 38, berkata dia secara peribadi bersetuju dengan tindakan kerajaan negeri itu disebabkan situasi kes positif Covid-19 yang kian meningkat sejak kebelakangan ini.

“Mungkin ini salah satu pendekatan terbaik yang boleh diambil sebagai langkah untuk memutuskan rantaian Covid-19.

“Situasi penularan wabak ini sedikit berbeza sekarang dengan adanya penemuan varian baharu. Dengan menghadkan pekerja dan pelanggan yang lengkap divaksin sahaja boleh memasuki premis pasar raya adalah suatu langkah terbaiki ketika ini.

“Selain itu, saya beranggapan kerajaan perlu memberi ruang kepada pihak pasar raya membuat persediaan sepatutnya berikutan pelaksaan serta-merta boleh mengakibatkan kekeliruan samaada dalam kalangan orang awam mahupun pasar raya itu sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi pelanggan pasar raya, Noranila Adnin, 32, menyatakan pengumuman SOP baharu terbabit mungkin agak tidak adil kepada individu yang belum dipanggil menerima vaksin atau baru mendapat suntikan dos pertama.

“Perkara ini ada pro dan kontra sebab ia seperti tidak adil kepada mereka yang belum ada kena panggil menerima vaksin atau belum lengkap divaksin sepenuhnya.

“Malahan individu yang sudah dapat dua dos suntikan turut dinasihatkan berehat seminggu atau dua minggu agar membolehkan vaksin itu sendiri mampu melindungi badan kita secara menyeluruh.

“Bagaimanapun, SOP ini bagus untuk dilaksanakan bagi mengurangkan risiko terkena jangkitan dan kematian,” katanya yang berkhidmat sebagai pegawai bank.

Sementara itu, Pengurus Operasi Servey Hypermarket Putatan, Gabriel Ling berkata pihaknya sudah maklum tentang pengumuman SOP berkenaan.

“Saya belum boleh mengulas lanjut tentang pelaksanaan SOP itu di pasar raya ini kerana baru saja membuat mesyuarat semalam dan masih banyak perkara yang harus dibincangkan.

“Kita tetap akan menyokong setiap pengumuman diberikan kerajaan tetapi cara mengaplikasikannya masih dalam perbincangan kerana tidak mahu berlaku sebarang kekeliruan sewaktu pelaksanaannya,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Masidi Manjun menerusi kenyataan media harian Covid-19 Sabah baru-baru ini memaklumkan hanya pelanggan dan pekerja yang lengkap divaksin sahaja boleh masuk ke dalam premis pasar raya dan restoran berdasarkan SOP baharu di Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|