DBKK keluarkan notis SOP lengkap vaksin di pasar raya dan restoran

DBKK keluarkan notis SOP lengkap vaksin di pasar raya dan restoran

Kota Kinabalu: Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengeluarkan notis mengenai pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang mewajibkan semua pekerja dan pelanggan pasar raya serta restoran (dine-in) di bandar raya ini melengkapkan dua dos vaksin Covid-19.

Dalam satu kenyataan hari ini, Datuk Bandar Kota Kinabalu, Noorliza Awang Alip berkata penguatkuasaan SOP itu akan dilaksanakan selepas tempoh sebulan selaras dengan kenyataan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, baru-baru ini.

Noorliza berkata peringkat awal pelaksanaan SOP itu di bandar raya ini lebih berbentuk pendidikan dan peringatan seperti dijelaskan Masidi sebelum ini.

“Sehubungan itu, adalah diharapkan agar semua pihak dapat melengkapkan vaksin dalalam tempoh satu bulan ini,” katanya.

Selain DBKK, kenyataan sama turut dikeluarkan beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) lain, antaranya Majlis Daerah Putatan (MDPTN) dan Majlis Daerah Papar (MDP).

Masidi dalam kenyataannya sebelum ini berkata, penguatkuasaan sepenuhnya SOP itu akan dilaksanakan selepas tempoh sebulan yang diberikan tamat.

Katanya, bagi orang ramai atau pekerja pasaraya dan restoran di bandar raya ini, mereka boleh ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Antarabangsa Kota Kinabalu (SICC) untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|