Skuad Piala Presiden Sabah setanding pasukan senior

Skuad Piala Presiden Sabah setanding pasukan senior

Kota Kinabalu: Pasukan Piala Presiden Sabah (B22) membuktikan kekuatannya setanding dengan skuad senior apabila berjaya mengikat pasukan senior Sabah dengan keputusan seri 2-2 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Likas, Jumaat lalu.

Skuad Piala Presiden atau dikenali pasukan Sabah FC III itu menghalang kemaraan skuad senior bermula dalam separuh masa pertama apabila menyamakan kedudukan 1-1 sebelum waktu rehat.

Gol pertama Pasukan Piala Presiden itu disumbangkan melalui tandukan pemain tengah, Mohd Naaim Firdaus Stibin, manakala gol pasukan senior Sabah FC dijaringkan Harith Naim.

Kedua-dua pasukan terus bersaing sengit pada separuh masa kedua dengan sekali lagi skuad Piala Presiden mara di hadapan melalui jaringan tendangan bebas yang dilakukan Mohd Naaim.

Bagaimanapun penyerang berpengalaman skuad senior, Bobby Gonzales berjaya menjaringkan gol penyamaan ekoran berlaku babak mencemaskan di luar kotak penalti lawan.

Perlawanan itu kemudian terpaksa dihentikan lebih awal disebabkan hujan lebat.

Kejayaan skuad Piala Presiden mencatat keputusan seri dalam perlawanan itu menunjukkan corak permainan pasukan muda Sabah semakin menunjukkan peningkatan dan mampu memberi saingan kepada pasukan senior.

Dalam perlawanan persahabatan di padang sintetik sebelum ini, pasukan senior Sabah FC hanya mampu menang tipis 1-0 terhadap skuad Piala Presiden.

Ini bermakna peningkatan keupayaan dalam pasukan muda itu satu petanda baik untuk pasukan menghadapi cabaran dalam saingan Piala Presiden yang dijadual diadakan antara bulan September atau Oktober tahun ini.

Sementara itu, difahamkan sekurang-kurangnya lapan pemain skuad Piala Presiden dicadangkan jurulatih pasukan, Johnny Dominicus untuk pertimbangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dipanggil menjalani pemilihan awal skuad B23 kebangsaan sebagai persediaan menghadapi Kejohanan AFC B23 di Uzbekistan nanti.

Mereka ialah Gerald Gadit, Hanafi Tokyo Hashim, Hizaz Lokman, Mohd Naaim Firdaus Stibin, Shahrizan Saidin, Azlizan Mohd Azlan, Nureizkhan Isa Jaafar dan Mohd Faqrul Idris.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|