Covid-19 Sabah: Wanita langgar kuarantin cari talian internet di kebun getah cetus kluster di Ranau

Covid-19 Sabah: Wanita langgar kuarantin cari talian internet di kebun getah cetus kluster di Ranau

Kota Kinabalu: Perbuatan seorang wanita yang sedang menjalani perintah kuarantin berinteraksi dengan penduduk kampung ketika mendapatkan liputan internet di sebuah kebun getah mencetuskan kluster baharu Covid-19 di Ranau, hari ini.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata kegagalan kes indeks mematuhi arahan kuarantin rentas negeri menyebabkan tercetusnya Kluster Paka Kawiyan membabitkan jangkitan dalam komuniti di daerah Ranau.

Katanya, kes indeks berumur 32 tahun itu dikesan positif COVID-19 hasil saringan rentas negeri pada hari ke-10 kuarantin, baru-baru ini.

“Sepanjang tempoh kuarantin, kes indeks berinteraksi dengan penduduk kampung di sebuah kawasan kebun getah ketika cuba mendapatkan akses liputan internet.

“Hasil beberapa siri saringan kontak rapat pada 29 Julai hingga semalam, terdapat pertambahan bilangan kes dalam kalangan kontak rapat dan kontak sosial kes indeks.

“Daripada 132 orang yang disaring, kluster ini merekodkan 41 kes positif COVID-19 termasuk 13 kes baharu pada hari ini,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Sementara itu, Masidi berkata satu lagi kluster berkaitan komuniti hari ini dilaporkan di Kinabatangan yang dikesan selepas seorang kerani wanita berumur 27 tahun di sebuah ladang kelapa sawit di Beluran disahkan positif COVID-19 melalui saringan tempat kerja pada 9 Ogos lalu.

Katanya, kes indeks Kluster Tangkuyan itu yang dirujuk ke Hospital Kinabatangan untuk rawatan lanjut didapati mempunyai sejarah menghadiri upacara pengebumian ahli keluarga di Kampung Tangkuyan, Kuamut.

“Siasatan kontak seterusnya mendapati seramai 128 kontak keluarga, sosial dan tanggungan didapati positif COVID-19. Sebanyak 129 kes positif termasuk 128 kes baharu direkod dalam kluster ini.

“Aktiviti siasatan, persampelan COVID-19 dan disinfeksi masih diteruskan di lapangan untuk menilai penyebaran jangkitan dan risiko kemungkinan jangkitan lebih meluas kepada penduduk kampung berdekatan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya satu lagi kluster iaitu Kluster Segama Batu Satu di Lahad Datu dikesan selepas seorang lelaki bukan warga negara berumur 40 tahun dikesan positif COVID-19 hasil saringan tempat kerja pada 12 Ogos lalu.

Katanya, punca jangkitan masih dalam siasatan, namun risiko jangkitan didapati tinggi berikutan keadaan rumah kongsi didiami kes indeks yang sesak selain aktiviti sosial dalam kalangan pekerja setiap petang.

“Semua kes positif COVID-19 dalam kluster ini dirujuk ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut dan pengasingan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC )Lahad Datu.

“Kes kontak rapat sudah diarahkan untuk menjalani kuarantin di pusat kuarantin PPR Sri Sapagaya, Lahad Datu. Daripada 39 kontak yang disaring, 18 individu dikesan positif termasuk 11 kes baharu hari ini, manakala 21 individu pula didapati negatif saringan pertama,” katanya.

Secara keseluruhan, Sabah hari ini mencatat 1,665 kes baharu COVID-19 dengan sembilan kematian iaitu masing-masing tiga di Kota Kinabalu dan Tawau, dua kes di Papar dan satu kes di Lahad Datu, manakala seramai 1,220 pesakit COVID-19 dilaporkan sembuh.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|