RELA derma darah bantu tabung darah hospital

RELA derma darah bantu tabung darah hospital

Beaufort: Seramai 57 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Beaufort tampil menderma darah sebagai simbolik menzahirkan semangat patriotik menyambut Bulan Kebangsaan untuk mengisi tabung darah Hospital Beaufort, di sini, semalam.

Pegawai RELA Daerah Beaufort, PPjR Risting Moturon, berkata program berkenaan adalah antara pengisian sambutan Bulan Kebangsaan RELA Sabah pada tahun ini yang turut diadakan di daerah lain bermula 1 Ogos lalu hingga 16 September depan.

“Pelbagai cara dilakukan orang ramai untuk menzahirkan semangat patriotik kepada negeri dan negara, namun bagi kami anggota RELA, kami mahu menzahirkan semangat patriotik dengan menderma darah.

“Program ini diadakan atas dasar kebersamaan dan saling membantu antara satu sama lain kerana kita tahu ramai pesakit memerlukan bantuan bekalan darah,” katanya.

Program derma darah itu diadakan di Laman Saujana, Hospital Beaufort, semalam sebagai satu usaha membantu hospital berkenaan yang ketika ini menghadapi kekurangan bekalan darah.

Yang turut hadir ialah Pegawai Perubatan Hospital Beaufort, Dr Chong Kok Yan; Sukarelawan Tabung Darah Hospital Beaufort, Koh Chen Shiung dan Penolong Pegawai RELA Daerah Beaufort, PgR Muhammad Maududi Hamsi.

Difahamkan bekalan darah di hospital itu berkurangan berikutan pembatalan banyak program derma darah yang dirancang lebih awal disebabkan peningkatan kes Covid-19 sejak kebelakangan ini.

Risting berkata, anggota RELA yang hadir pada program yang bermula jam 7.30 pagi itu kebanyakannya adalah penderma darah ulangan selain penderma darah kali pertama.

“RELA Beaufort akan terus membantu Hospital Beaufort menyediakan bekalan darah yang cukup kepada pesakit pada masa akan datang. Kita juga komited untuk mengadakan program menderma darah secara dalam kalangan anggota,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|