Reda pemergian isteri dan anak

Reda pemergian isteri dan anak

Kota Kinabalu: Seorang pekerja pusat binaan di sini, reda dengan takdir yang menimpa bayi dan isterinya yang meninggal dunia dalam kejadian tanah runtuh di Forest Hill, Jalan Bundusan, di sini, hari ini.

Menurut Zul Azmil Omar, 34, walaupun kehilangan dua insan tersayang itu, namun dia masih bersyukur kerana seorang lagi anaknya terselamat dalam kejadian berkenaan.

Katanya, ketika kejadian, dia tidak berada di rumah kerana mengikuti rakan untuk membuat kerja di tapak binaan lain.

“Hari ini saya dibawa seorang rakan yang meminta pertolongan untuk membuat kerja di luar. Selepas itu, saya meminta izin isteri untuk keluar dan memesan kepadanya untuk menghubungi saya sekiranya ada kekurangan.

“Namun isteri yang sedang mengandung, menyuruh saya pergi membantu rakan selain memberitahu tiada sebarang kekurangan di rumah kami,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Bagaimanapun Zul Azmil berkata, sekitar jam 3.30 petang, ketika melakukan kerja dia dihubungi rakan memanggilnya untuk segera pulang ke rumah.

Katanya, rakannya memberitahu rumah mereka di tapak binaan itu diranapkan tanah runtuh dan keluarganya turut terbabit dalam kejadian berkenaan.

“Saya terus balik namun perjalanan memakan masa lama disebabkan berlakunya banjir di beberapa lokasi.

“Sebaik sampai, saya terus bertanyakan kepada salah seorang sepupu di mana anak dan isteri.

“Saya dimaklumkan hanya seorang anak selamat manakala isteri dan bayi sudah meninggal dunia,” katanya.

Dalam kejadian 3 petang tadi, tiga maut manakala tiga lagi mangsa terselamat.

Antara yang meninggal dunia adalah bayi berusia 8 bulan dikenali sebagai Dayana Zul Azmil, ibunya Salmah Hamid, 25, dan kanak-kanak perempuan Rosatima Asbirin, 5 tahun.

Manakala tiga lagi yang terselamat adalah Risdah Jabin, 22, bersama dua lagi kanak-kanak yang dikenali sebagai Norsirah Asbirin berusia tiga tahun serta Juliana Zul Azmil, berusia lebih setahun.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|