Kota Kinabalu: Semua pihak perlu melihat kembali apa yang dimaksudkan dengan pembentukan persekutuan Malaysia, sejarah dan matlamatnya, selain hanya memperingati hari pembentukannya pada setiap 16 September.
Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata banyak perkara yang berlaku sejak pembentukan Malaysia tidak menggambarkan persekutuan yang sebenar hingga menimbulkan rasa kecewa rakyat, khususnya di Sabah.
Beliau berkata, perkara itu perlu dibetulkan dan diperbaiki supaya persekutuan yang dibentuk sejak 58 tahun lalu benar-benar memenuhi aspirasi rakyat ketika Malaysia mula-mula dibentuk dahulu.
“Ketika persekutuan memperingati pembentukan Malaysia, saya percaya adalah penting bagi semua pihak untuk merenungkan apa yang dimaksudkan dengan pembentukan persekutuan, sejarah dan matlamatnya.
“Malaysia secara rasmi dibentuk dan diisytiharkan pada 16 September 1963 di mana Sabah, Sarawak dan Singapura disatukan dengan Persekutuan Tanah Melayu.
“Sebelum tahun 1965, Sabah, Sarawak, Singapura dan Tanah Melayu adalah rakan kongsi dalam pembentukan Malaysia.
“Pengisytiharan Malaysia pada 16 September 1963 mengakui status kenegaraan Sabah, Sarawak dan Singapura yang mencerminkan aspirasi mereka pada awal proses pembentukan Malaysia.
“Namun, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak menggambarkan pengisytiharan ini kerana ditandatangani pada 9 Julai 1963, bahkan sebelum proses pembentukan Malaysia selesai dan pada masa ketika Sabah dan Sarawak masih menjadi jajahan atau koloni British,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Malaysia.
Berikutan itu, Jeffrey percaya adalah wajar untuk mempersoalkan mengapa MA63 ditandatangani sebelum proses pembentukan Malaysia selesai dan mengapa ia tidak pernah dipinda.
Beliau turut mempersoalkan adakah Sabah dan Sarawak disatukan dengan Tanah Melayu secara keseluruhan atau dengan negeri individu di Tanah Melayu seperti yang didakwa setengah pihak.
“Sekiranya kita ingin maju sebagai sebuah persekutuan, adalah amat penting agar masalah atau anomali ini dapat diselesaikan kerana kita tidak mahu menjadi jajahan Tanah Melayu,” katanya.
Atas sebab itu, Jeffrey berkata beliau sekali lagi menegaskan bahawa kemerdekaan Sabah dan Sarawak, yang selalu disembunyikan ketika pembentukan Malaysia, dikembalikan ke dalam sejarah persekutuan agar sejarah menjadi lengkap.
“Sarawak memperoleh pemerintahan sendiri pada 22 Julai 1963, manakala Sabah mengisytiharkan kemerdekaan pada 31 Ogos 1963.
“Tarikh 16 September adalah perayaan bagi perkongsian ini, bukan pengambilalihan kolonial. Sabah dan Sarawak tidak menjadi sebahagian daripada Malaysia. Sebaliknya, kita mengasaskan Malaysia bersama dengan Persekutuan Tanah Melayu.
“Lebih penting lagi, kita tidak boleh mengelirukan Tanah Melayu dengan Malaysia. Malaysia adalah Persekutuan Baharu yang ditubuhkan pada tahun 1963, bukan pada tahun 1957.
“Sudah sampai waktunya untuk memenuhi perkongsian ini dan syarat-syarat bagi persekutuan ini,” katanya.
Beliau sebelum itu mengimbau apa yang dialami rakyat Sabah selepas pembentukan Malaysia yang disifatkannya sebagai memberangsangkan pada permulaan pembentukannya.
Bagaimanapun, beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata rakyat Sabah kini semakin menyedari bahawa mereka seperti tertipu dalam perkongsian berkenaan.
“Selama 58 tahun berlalu sejak Sabah, Sarawak, Singapura dan Tanah Melayu membentuk Malaysia, namun balasan komitmen yang diberikan terhadap persekutuan hanya mengundang rasa kecewa dan sedih bagi rakyat di negeri ini.
“Saya meninjau Batu Sumpah di Keningau, kawasan Parlimen saya untuk mengkaji semula pembentukan Malaysia. Saya akui, memang kita telah merasai pembangunan tetapi jika dibandingkan dengan Singapura dan Brunei yang memilih untuk tidak bersama-sama dalam persekutuan ini, pembangunan Sabah sangat kecil.
“Ada banyak sebab kenapa ini berlaku. Bahagian Pendapatan kita (40 peratus) masih belum dibayar sesuai dengan Artikel 112c / 112d Perlembagaan Persekutuan, eksport 10 peratus atas duti petroleum sebagai pengganti royalti tidak pernah dibayar dan duti import 10 peratus terhadap produk petroleum belum dibayar sepenuhnya tetapi diganti dengan jumlah tetap RM120 juta sejak 2007.
“Dari segi sumber, minyak dan gas kita diambil alih oleh Petronas yang 100 peratus dimiliki oleh kerajaan persekutuan secara tidak berperlembagaan, sementara anak-anak kita tidak diberi peluang bekerja di pejabat-pejabat persekutuan di Sabah. Sebilangan besar pangkat ketua-ketua jabatan pula dikuasai oleh Malaya.
“Juga bagaimana keamanan Sabah sengaja diganggu oleh pengimportan buruh asing dari negara jiran yang kemudian diberi kewarganegaraan secara pintu belakang dan digerakkan sebagai pengundi untuk mengubah demografi Sabah dan landskap politik melalui Projek IC, yang juga dikenali sebagai Projek Mahathir,” katanya.
Beliau berkata, walaupun Sabah mempunyai banyak sumber, negeri ini terpaksa bergantung kepada kerajaan persekutuan dari segi kewangan, ekonomi, politik dan ketenteraan.
Bahkan, katanya kekuatan politiknya sengaja dilemahkan dengan bilangan perwakilan Parlimen yang tidak memadai dan tidak menggambarkan statusnya sebagai rakan setaraf dalam persekutuan.
“Kesan dari semua pelanggaran ini jelas: Sabah telah menjadi wilayah termiskin di Malaysia,” katanya.
-Deasoka