Dua ‘pedagang’ daun ketum ditahan

Dua ‘pedagang’ daun ketum ditahan

Kota Belud: Cubaan dua lelaki memasarkan bekalan daun ketum ke daerah ini gagal selepas berjaya dipatahkan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Sahimi Husin berkata, kedua-dua suspek yang menaiki sebuah bas mini ditahan di Kampung Siasat Tamu, di sini.

Katanya, hasil penahanan kedua-dua suspek membawa kepada penemuan empat bungkusan plastik mengandungi daun berwarna hijau disyaki daun ketum.

“Semua keempat-empat plastik yang mengandungi daun ketum itu dianggarkan seberat 31 kilogram dan bernilai RM630.

Kedua-dua suspek ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

“Siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek membawa bekalan daun ketum dari daerah Keningau dan menjualnya di daerah ini dengan harga RM35 hingga RM40 sekilogram,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sahimi berkata, kedua-dua suspek yang turut berasal dari Daerah Keningau itu kemudiannya ditahan bersama barang kes dan dibawa ke IPD Kota Belud untuk tindakan lanjut.

Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|