Premis menjual alatan muzik dipecah masuk

Premis menjual alatan muzik dipecah masuk

Penampang: Sebuah kedai menjual peralatan muzik di Bangunan Towering, Jalan Penampang, di sini, dipecah masuk, Selasa lalu.

Kejadian dipercayai berlaku pada jam 10 malam dan beberapa peralatan muzik turut hilang disyaki dicuri.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan daripada pekerja premis berkenaan.

Katanya, laporan itu dibuat selepas menyedari cermin hadapan kedai berkenaan pecah dan beberapa alatan muzik turut hilang.

“Siasatan awal mendapati, cermin hadapan kedai berkenaan dipecahkan dipercayai menggunakan objek tumpul.

“Antara barangan yang dilaporkan hilang adalah dua gitar serta satu ‘stand guitar’ yang dipamerkan di bahagian hadapan premis berkenaan,”’katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Haris berkata, jumlah kerugian dalam kejadian ini dianggarkan sebanyak RM4,000 dan usaha bagi mengesan suspek sedang giat dijalankan.

Katanya, pihak polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebat bagi kesalahan kedua dan seterusnya, jika sabit kesalahan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|