Kota Kinabalu: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata sejarah pembentukan Malaysia tidak akan dilupakan meskipun negara berdepan dengan pelbagai cabaran menguji usaha membina negara yang ditubuhkan 58 tahun lalu.
Dalam ucapannya sempena sambutan Hari Malaysia, hari ini, beliau berkata sejarah 16 September 1963 itu akan kekal terpateri dalam jiwa dan sanubari seluruh rakyat.
Beliau turut mengimbau kata-kata Tunku Abdul Rahman ketika pengisytiharan Malaysia pada 1963 yang menjadi detik bersejarah pembentukan negara baharu dikenali sebagai Malaysia.
Ketika pengisytiharan Malaysia pada 16 September 1963 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, Perdana Menteri pertama itu berkata – “Pada hari dan saat yang penuh gilang-gemilang ini, dengan nama Allah Yang Maha Kuasa, demi sesungguhnya kita akan pertahankan bendera, bangsa dan negara kita dengan segala daya upaya kita, sekalipun dengan jiwa dan darah kita.”
Hajiji berkata, setelah itu, bermulalah episod perjalanan dan perjuangan bangsa Malaysia untuk membina negara baharu itu hingga berada pada tahap yang ada sekarang.
“Dengan harapan yang cukup tinggi pejuang tanah air, Malaysia mengorak langkah meniti cabaran demi cabaran membina sebuah negara yang makmur dan sejahtera.
“Alhamdulillah, hari ini setelah dihadapkan dengan pelbagai ujian, Malaysia telah menjadi sebuah negara yang disegani di peringkat antarabangsa,” katanya.
Sementara itu, katanya ketika Malaysia dan seluruh dunia berdepan ancaman pandemik Covid-19, pemimpin negara berusaha keras untuk memastikan negara dapat keluar daripada krisis kesihatan berkenaan.
Beliau turut menyatakan keyakinannya terhadap usaha yang dilaksanakan itu mampu membawa hasil yang diharapkan ke arah mengembalikan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat.
“Saat ini, Malaysia mahupun dunia masih berdepan dengan krisis kesihatan terburuk akibat penularan Covid-19. Malah, ekonomi dunia juga hampir lumpuh.
“Kita bersyukur dengan kerja keras pimpinan negara, Malaysia bakal keluar daripada kemelut akibat wabak ini. InsyaAllah, proses pemulihan negara akan mengembalikan kesejahteraan dan kemakmuran rakyat jelata,” katanya.
Beliau turut mengingatkan rakyat agar terus mengekalkan perpaduan yang menjadi kunci kejayaan Malaysia selama ini.
“Bagi pihak kerajaan negeri Sabah, saya ingin mengucapkan Selamat Hari Malaysia. Ayuh kita bangkit menjadi Keluarga Malaysia yang bermaruah.
“Kesatuan dan perpaduan antara rakyat adalah kunci kepada kejayaan negara. Semoga Malaysia terus aman dan harmoni, rakyatnya hidup bersatu-padu dan saling bertoleransi. Mudah-mudahan Allah mengurniakan kemakmuran kepada negara tercinta Malaysia,” katanya.
-Deasoka