68 mangsa banjir dipindahkan di kawasan Penampang, Putatan

68 mangsa banjir dipindahkan di kawasan Penampang, Putatan

Kota Kinabalu: Seramai 68 mangsa dipindahkan berikutan kejadian banjir di kawasan tempat tinggal mereka membabitkan dua daerah di negeri ini pagi tadi.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sabah berkata, setakat jam 8 pagi tadi, semua mangsa yang dipindahkan itu membabitkan 27 keluarga.

Manakala katanya, bilangan penduduk terjejas banjir ketika ini di daerah Penampang ialah seramai 39 orang daripada 21 keluarga.

“Selain itu, jumlah berkenaan diikuti seramai 29 mangsa membabitkan sembilan keluarga di daerah Putatan.

“Bagi mangsa di daerah Penampang, mereka kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Rumah Kelab Kompleks Sukan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, bagi daerah Putatan pula, semua 26 mangsa banjir daripada lima keluarga berada ditempatkan di PPS Dewan Sri Serigai manakala tiga penduduk sekeluarga lagi mangsa berada di PPS Dewan Sri Keramat.

Sementara itu, Jurucakap APM Sabah menasihatkan orang awam supaya sentiasa berhati-hati dengan situasi banjir serta tanah runtuh di kawasan masing-masing.

Katanya, ia berikutan keadaan cuaca yang masih sukar diramal sehingga menyebabkan berlakunya bencana alam.

Dalam kejadian semalam, hujan lebat berterusan selama beberapa jam sejak petang mengakibatkan beberapa kawasan sekitar Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan dilanda banjir selain berlaku kejadian tanah runtuh.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|