Semangat untuk berjuang demi negara

Semangat untuk berjuang demi negara

Kota Kinabalu: “Pelbagai cabaran dan dugaan yang dihadapi, namun itu tidak pernah melunturkan semangat kami untuk berjuang demi negara.”

Demikian luahan hati, Datuk Aloysius Mobijin, 79, salah seorang bekas pejuang negara yang pernah bertugas sebagai polis di serata negara ketika kemerdekaan masih belum dapat dikecapi.

Menurutnya, sepanjang pengalaman bertugas dalam pasukan polis, beliau dan pasukannya pernah diserang ketika menjalankan tugas di ‘Teluk Anson’ yang kini dikenali sebagai Teluk Intan, Perak, sehingga mengakibatkan salah seorang rakannya meninggal dunia.

Katanya, ketika itu mereka sedang ditugaskan untuk memantau kegiatan komunis namun diserang secara tiba-tiba.

“Saya ditugaskan sebagai ketua pasukan untuk memburu dan menghapus gerakan anggota komunis semasa bertugas di Teluk Anson, Perak.

“Walaupun sedih dengan kehilangan rakan sepasukan namun kami tetap bersemangat untuk membantu negara mencapai kemerdekaan,” katanya ketika ditemui, baharu-baharu ini.

Aloysius berkata, cabaran yang dihadapi ketika itu apabila kebanyakan anggota komunis ini cukup terlatih dan bukan mudah untuk menangkap mereka.

Malah katanya, untuk menangkap seorang wanita pun memerlukan kekuatan tiga orang anggota polis kerana komunis ini sangat terlatih dan kuat.

“Saya sendiri juga pernah bergelut untuk menangkap sepasang suami isteri yang menjadi anggota komunis.

“Jika dilihat secara luaran, mereka nampak seperti orang biasa yang menaiki basikal dan menoreh getah tetapi, sebenarnya mereka ini komunis.

“Mereka sangat kuat, boleh membunuh sekiranya saya seorang saja yang berada di tempat kejadian bersama mereka,” katanya.

Menurutnya, beliau antara anggota polis Sabah pertama yang diberi kepercayaan untuk mengetuai pasukan polis di Tanjung Malim, Perak.

Aloysius berkata, beliau turut pernah ditugaskan di pantai timur Sabah ketika era konfrontasi Malaysia-Indonesia pada thaun 1963 sehingga 1966.

Katanya, beliau yang bertugas sebagai pegawai Pasukan Polis Marin pernah terbabit dalam memerangi mundu atau lanun di Sungai Merah, Lahad Datu selain menentang pencerobohan tentera Indonesia.

“Ketika itu, kami menggunakan hanya kapal laut menggunakan enjin tiga kuasa kuda. Tetapi setiap kali enjin rosak, kami terpaksa bergerak menggunakan layar.

“Setiap kali kami berjaya mengesan lanun laut yang menggunakan pam bot, mereka akan terus bergerak ke kawasan cetek.

“Di situ kami hanya mampu melihat mereka melarikan diri kerana bot kami tidak dapat bergerak di kawasan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, mereka juga beberapa kali berbalas tembakan dan menahan anggota lanun terbabit.

Sementara itu, pesara polis yang mula menganggotai polis pada tahun 1957 itu berkata, sebaik melihat bendera Malaysia dinaikkan buat kali pertama pada 16 September 1963 membuatkannya terasa mahu menitiskan air mata.

Katanya, perjuangan dan pengorbanan mempertahankan kemerdekaan negara akhirnya berakhir dengan pembentukan sebuah negara yang dipanggil Malaysia.

“Tanggal 16 September itu adalah tarikh keramat Borneo Utara (Sabah), Sarawak bergabung dengan Tanah Melayu membentuk Malaysia,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|