Boleh daki Gunung Kinabalu mulai hari ini

Boleh daki Gunung Kinabalu mulai hari ini

Kota Kinabalu: Pendakian di Gunung Kinabalu dibuka semula hari ini selaras kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) melalui semakan terbaharu SOP fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi negeri Sabah yang diumumkan baru-baru ini.

Pengarah Taman-Taman Sabah, Dr Maklarin Lakim, dalam satu kenyataan berkata, aktiviti itu bagaimanapun terhad kepada pendaki yang sudah lengkap vaksin Covid-19 dan berasal dari daerah Ranau sahaja selain berumur lebih 12 tahun.

Katanya, individu berumur lebih 70 tahun juga tidak dibenarkan untuk mendaki.

Beliau berkata, selain pendakian di gunung tertinggi Asia Tenggara itu, Taman-Taman Sabah turut membuka semula semua pejabat dan stesen taman di seluruh negeri berkuat kuasa hari ini.

Bagaimanapun, katanya, Taman Pulau Penyu di Sandakan belum dapat dibuka hari ini, sebaliknya ditangguhkan sehingga 20 September.

Pulau Bohey Dulang di Taman Marin Tun Sakaran, Semporna dan Stesen Kimanis, Taman Banjaran Crocker pula akan dibuka pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

“Walau bagaimanapun, hanya pelawat atau pendaki yang lengkap divaksinasi, tinggal di daerah yang sama dan berumur di atas 12 tahun serta di bawah 70 tahun dibenarkan masuk ke destinasi berkenaan.

“Had pelawat adalah seramai 100 orang sehari bagi setiap destinasi.

“Semua aktiviti dalam taman adalah tertakluk kepada SOP pengoperasian Taman-Taman Sabah PPN fasa kedua berdasarkan kemas kini pada 11 September lalu,” katanya.

Aktiviti pendakian di Gunung Kinabalu dan semua taman di bawah pengurusan Taman-Taman Sabah ditutup sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Jun lalu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|