Kelibat buaya kejutkan penduduk

Kelibat buaya kejutkan penduduk

Papar: Kelibat seekor buaya yang dilihat bergerak di atas jalan di Kampung Nagapas, di sini, malam tadi mengejutkan penduduk sekitar kampung berkenaan.

Buaya sepanjang lebih tiga meter yang dilihat naik ke atas jalan dapat disaksikan penduduk yang sempat merakam kehadiran reptilia itu kira-kira jam 11.30 malam.

Rakaman berkenaan kemudiannya tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp sehingga menimbulkan pelbagai reaksi netizen.

Perakam video berkenaan, Richard L, 52, berkata, sebelum penemuan itu, dia diminta oleh ahli keluarga lain memeriksa keadaan sungai yang terletak berhampiram rumah ekoran cuaca hujan lebat sejam beberapa jam lalu.

Bagaimanapun katanya, ketika menghampiri jambatan sungai berkenaan, dia menemui seorang lelaki yang menaiki kereta kancil seorang diri.

“Saya bertanya sama ada kereta rosak, lelaki itu memberitahu dia ada melihat seekor buaya di atas jalan kira-kira 50 meter dari tempat kami berdiri.

Video buaya yang tular di media sosial dilihat bergerak diatas jalan raya semalam kira-kira jam 11.30 malam.

“Saya kebetulan tidak membawa telefon dan terus membawanya menaiki kereta untuk melihat sendiri buaya berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Richard berkata, sebaik sampai di lokasi, dia terkejut apabila melihat buaya berkenaan benar-benar ada di atas jalan dan sempat merakam menggunakan telefon pintar pemilik kenderaan berkenaan.

Katanya, suara di dalam rakaman berkenaan menyebut Kampung Rampazan, tetapi sebenarnya tempat itu adalah Kampung Nagapas.

“Saya dilahirkan di kampung di sini, tapi ini kali pertama saya melihat buaya di sungai kecil ini. Tujuan saya menularkan rakaman berkenaan adalah bagi memaklumkan kepada orang ramai supaya lebih berhati-hati.

“Ramai kalangan penduduk kampung yang sering turun ke sungai untuk aktiviti merambat ikan, namun tiada sesiapa yang pernah menceritakan penemuan haiwan berkenaan.

“Saya juga terus menghubungi Jabatan Hidupan Liar untuk mendapatkan pertolongan menangkap buaya demi keselamatan penduduk di sini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|