PM umum bantuan bencana RM18.24 juta kepada Sabah

PM umum bantuan bencana RM18.24 juta kepada Sabah

Kota Kinabalu: Perdana Menteri hari ini mengumumkan peruntukan RM18.24 juta yang disalurkan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kepada kerajaan Sabah untuk pengurusan tindak balas bencana di negeri ini.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sebahagian besar daripada peruntukan itu adalah untuk pengurusan operasi COVID-19 Sabah, iaitu sebanyak RM16 juta.

Selebihnya, beliau berkata adalah untuk perolehan 2,000 unit kit makanan bernilai RM160,000, pembelian 2,500 unit C-Tent (RM961,250), operasi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (RM20,000) dan operasi 22 Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (RM1.1 juta).

“Saya berharap sebahagian daripada peruntukan ini dapat digunakan untuk pengurusan bencana dan meringankan beban mangsa kejadian tanah runtuh di Penampang, semalam. Saya turut bersimpati kepada keluarga mangsa yang terkorban,” katanya dalam kenyataan sempena lawatan rasmi pertamanya ke Sabah, hari ini.

Beliau turut mengumumkan peruntukan RM9.5 juta disalurkan melalui Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara untuk perbelanjaan operasi mengurus bencana Monsun Timur Laut (MTL) bagi tahun 2021 / 2022.

Beliau sebelum itu mengumumkan hasil Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) pada 13 September lalu yang bersetuju menaikkan kadar Bantuan Wang Ihsan (BWI) daripada RM500 kepada RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah (KIR) yang terjejas ketika MTL atau yang terkesan dengan lain-lain bencana diisytiharkan oleh JPBP.

“Keputusan menaikkan kadar bantuan ini membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap mangsa bencana, ditambah pula dengan impak ekonomi rakyat akibat pandemik COVID-19.

“Inisiatif BWI ini dijangka meringankan beban lebih 39,100 KIR yang membabitkan peruntukan lebih RM39.5 juta yang disalurkan melalui Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara.

“Pemberian bantuan ini bukanlah satu bentuk pampasan atau ganti rugi terhadap kerosakan rumah dan harta benda yang dialami mangsa tetapi untuk mengurangkan beban yang ditanggung,” katanya.

Beliau berkata, ia adalah antara pendekatan baharu yang diambil kerajaan dalam usaha menambah baik pengurusan dan kesiapsiagaan menghadapi MTL yang dijangka berlaku pada awal November ini sehingga akhir Mac tahun depan di negeri Pantai Timur, Johor, Sabah, dan Sarawak.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, pendekatan baharu lain yang turut diputuskan dalam mesyuarat
berkenaan ialah pembangunan Sistem eSumbangan badan bukan kerajaan (NGO) sebagai platform penyelarasan bantuan antara penderma dan NGO kepada mangsa bencana.

Katanya, bantuan perlu melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, negeri atau daerah supaya penyelarasan bantuan dapat dilakukan lebih lancar dan sistematik.

“Badan sukarela yang ingin melakukan pergerakan menghantar bantuan, perlu mendapat kebenaran daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, negeri atau daerah terlebih dahulu memandangkan jawatankuasa peringkat tempatan lebih arif dengan kehendak dan keperluan mangsa di kawasan terjejas.

“Pada masa yang sama, saya menasihatkan agar semua pihak yang terbabit supaya konsisten dalam merancang dan melaksanakan penambahbaikan pengurusan bencana melalui program dan projek yang bermanfaat di negeri masing-masing,” katanya.

Katanya, semua agensi berkaitan juga perlu menggunakan dan berkongsi segala aset sedia ada di negeri masing-masing dengan membabitkan badan korporat, NGO dan individu di peringkat tempatan, agar sama-sama dapat menggalas tanggungjawab sesuai dengan semangat Keluarga Malaysia.

Tambahnya, bersesuaian dengan semangat Keluarga Malaysia juga, orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa peka dan prihatin terhadap persekitaran termasuk jiran dan rakan selain ahli keluarga sendiri ketika musim tengkujuh ntuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|