Sabah akan terus diberi perhatian – Ismail Sabri

Sabah akan terus diberi perhatian – Ismail Sabri

Kota Kinabalu: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini mengadakan lawatan rasmi pertama ke Sabah selepas dilantik sebagai Perdana Menteri, pada 21 Ogos lalu.

Ketibaannya di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) pagi tadi disambut Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin serta jemaah Kabinet negeri yang lain.

Ismail Sabri diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa serta Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Perdana Menteri kemudian menghadiri taklimat pembangunan negeri yang disampaikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong di Menara Kinabalu.

Dalam maklum balasnya mengenai keperluan pembangunan Sabah, Ismail Sabri berkata negeri ini akan terus diberikan perhatian.

Katanya beberapa projek akan diberikan keutamaan terutama projek yang berpusatkan rakyat seperti sekolah, infrastrukttur dan kemudahan lain.

Selepas taklimat berkenaan, Ismail Sabri turut menyerahkan replika cek bernilai RM18,241,250 sumbangan kerajaan persekutuan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kepada Hajiji.

Perdana Menteri turut menyatakan akan mempertimbangkan penyaluran dana khususnya kepada daerah Penampang yang terjejas teruk akibat banjir kilat, semalam.

Ismail Sabri akan melancarkan sambutan Hari Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), malam ini yang diadakan secara sederhana dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|