Kerajaan akan salur bantuan kepada mangsa banjir kilat dan tanah runtuh

Kerajaan akan salur bantuan kepada mangsa banjir kilat dan tanah runtuh

Penampang: Kerajaan akan menyalurkan bantuan sewajarnya kepada mangsa insiden tanah runtuh dan banjir kilat yang melanda daerah ini, selain di Putatan dan Kota Kinabalu, semalam.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Ir Shahelmey Yahya, berkata kejadian berkenaan berpunca daripada hujan lebat luar biasa.

Katanya, kerajaan mengambil berat kejadian tanah runtuh dan banjjr kilat di lokasi yang terbabit dan berusaha mencari jalan membantu penduduk terjejas.

“Kejadian menyebabkan ramai penduduk di daerah terbabit terjejas dan turut membabitkan kehilangan nyawa.

“Sehingga kini kita masih mengumpulkan laporan dari Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di daerah terbabit bagi membolehkan kita mengerakkan jentera serta menghulurkan bantuan yang sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau lokasi kejadian tanah runtuh di Kampung Segunau Madsiang, Jalan Tambunan, di sini, bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, petang tadi.

Perdana Menteri mengadakan tinjauan berkenaan selepas mendengar taklimat pembangunan negeri di Menara Kinabalu, tengah hari tadi.

Shahelmey yang juga Exco Kesihatan negeri, berkata Perdana Menteri sendiri mengarahkan agar bantuan sewajarnya disalurkan kepada mangsa yang terbabit.

Katanya, laporan Jabatan Meteorologi menyatakan hujan lebat berpunca daripada peralihan monsun yang dijangka berlarutan sehingga November depan.

“Saya juga menharapkan agar mangsa terjejas bersabar dan redha dengan ujian yang melanda.

“Memang hujan semalam adalah kejadian yang agak luar biasa dan saya nasihatkan kepada penduduk agar sentiasa mengutamakan keselamatan.

“Penduduk yang tinggal di kawasan cerun yang menunjukkan ada risiko tinggi tanah runtuh dinasihat agar segera berpindah untuk mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|