PM lawat mangsa tanah runtuh

PM lawat mangsa tanah runtuh

Penampang: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluang masa melawat mangsa tanah runtuh di Kampung Madsiang, di sini petang tadi.

Beliau yang tiba pada kira-kira jam 2.20 petang diiringi Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin serta Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Ir Shahelmey Yahya.

Ismail Sabri meninjau sekitar lokasi kejadian bagi melihat situasi sebenar tanah runtuh yang menimpa tiga keluarga di kawasan terbabit pada kira-kira jam 3 petang semalam.

Perdana Menteri juga sempat bertanya khabar beberapa ahli keluarga yang menjadi mangsa tanah runtuh selain menyampaikan sumbangan.

Ahli keluarga terbabit bagaimanapun sempat menyelamatkan diri dengan dibantu orang ramai, manakala beberapa kenderaan turut rosak.

Kejadian dipercayai berlaku disebabkan hujan lebat berterusan petang semalam yang turut menyebabkan banjir kilat di sekitar Penampang dan Kota Kinabalu.

Sementara itu, seorang mangsa, Doraly John, 36, berkata dia dan keluarga berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana sudi meluangkan masa melihat sendiri keadaan mereka yang dilanda musibah.

“Beliau memaklumkan bakal membina semula kediaman kami bagi menggantikan rumah yang sudah ranap akibat tanah runtuh.

“Saya sendiri tidak menyangka seorang pemimpin utama negara sanggup datang dan menghulurkan bantuan,” katanya.

Beliau berkata, ketika kejadian semalam dia baru tiba di rumah selepas keluar ke pekan Donggongon, sebelum tanah runtuh tiba-tiba menimpa kediamannya.

“Keadaan ketika itu memang hujan lebat dan sekelip mata tanah menghempap rumah kami tapi saya bersyukur dapat menyelamatkan isteri dan empat anak kami,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|