Covid-19 Sabah: 71 lagi kes kematian hari ini

Covid-19 Sabah: 71 lagi kes kematian hari ini

Kota Kinabalu: Sebanyak 71 lagi kematian akibat Covid-19 dilaporkan di Sabah, hari ini, menjadikannya yang kedua tertinggi selepas 84 kematian yang direkodkan pada Ahad lalu.

Jumlah kes kematian hari ini juga menunjukkan peningkatan 55 kes berbanding 16 kes kematian yang dilaporkan semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata sebanyak 21 kes kematian dilaporkan di Kota Kinabalu, diikuti 18 kes di Sandakan dan 15 kes kematian di Tawau.

“Daerah Lahad Datu dan Penampang pula masing-masing mencatat tiga kes, diikuti masing-masing dua kes di Kota Belud dan Papar, manakala satu kes di Kota Marudu, Putatan, Kalabakan, Pitas, Kinabatangan, Tuaran dan Keningau,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Hari ini, Sabah merekodkan sebanyak 2,015 kes baharu positif Covid-19, meningkat sebanyak 231 kes berbanding 1,784 kes semalam.

Sementara itu, Masidi berkata seramai 1,943 pesakit Covid-19 dilaporkan sembuh hari ini, manakala 4,520 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,607 orang di hospital, seramai 2,822 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) awam, 84 orang di Pusat Tahanan Sementara
(PTS) dan penjara, manakala tujuh orang di fasiliti swasta.

“Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal pula ialah seramai 202 orang merangkumi 161 di ICU atau ‘repurposed critical care’ serta 41 di wad terbuka dan 67 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|