Dedahkan fakta sejarah mengenai pembentukan Malaysia – Maximus Ongkili

Dedahkan fakta sejarah mengenai pembentukan Malaysia – Maximus Ongkili

Kota Kinabalu: Sejarah pembentukan Malaysia perlu didedahkan dengan mengetengahkan fakta sejarah dan mengeluarkan kandungan beremosi serta berkaitan politik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata ahli sejarah yang masih hidup dan pakar perundangan perlu dijadikan rujukan untuk mendapatkan fakta yang tepat.

Beliau turut menyatakan harapannya agar silibus sejarah di sekolah yang kurang menekankan mengenai sejarah pembentukan Malaysia dibetulkan dan diberi penekanan yang sewajarnya.

“Kita perlu membetulkan kandungan yang sedikit mengenai pembentukan Malaysia dalam silibus sekolah dan menerbitkan secara meluas sejarah negara, khususnya mengenai pembentukan Malaysia,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Maximus yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), berkata usaha merapatkan jurang ekonomi di antara Sabah, Sarawak dengan Semenanjung juga perlu terus diberi penekanan.

Katanya, pemimpin di Sabah dan Sarawak berdepan kesukaran untuk menjawab mengapa wujud jurang yang besar dari segi tahap kemiskinan, pengagihan pendapatan dan infrastruktur fizikal jika dibandingkan dengan Semenanjung.

“Ini memerlukan tindakan dalam perancangan kerajaan, tambahan peruntukan yang besar untuk dana pembangunan melalui Unit Perancangan Ekonomi (EPU) dan pelaksanaan yang betul. Ketika ini wujud jurang yang besar di antara jumlah dana yang disediakan dan dana yang benar-benar sampai kepada sasaran,” katanya.

Beliau berkata, lebih ramai rakyat Sabah dan Sarawak diperlukan di agensi perancangan pembangunan dalam kerajaan persekutuan supaya rakyat kedua-dua negeri itu sendiri terbabit untuk melaksanakan pembangunan.

Katanya, beliau juga mempunyai harapan yang tinggi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk meneruskan komitmen membangunkan Sabah dan Sarawak seperti ditekankan dua Perdana Menteri teedahulu, iaitu Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Beliau (Ismail Sabri) ada memberitahu saya bahawa beliau akan terus komited dan menambah baik lagi struktur khas dan tumpuan untuk merapatkan jurang di antara Sabah dan Sarawak,” katanya.

Sementara itu, Maximus berkata, ketidakpatuhan terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) atau isu MA63 perlu diselesaikan sejajar dengan kepentingan perjanjian berkenaan yang menjadi asas mengekalkan persekutuan dan mengukuhkan perpaduan serta solidariti.

Katanya, perkara itu sangat penting untuk diberikan perhatian sejajar harapan rakyat di Sabah dan Sarawak, khususnya menjelang sambutan Hari Malaysia, esok.

Beliau yang akan mengiringi Ismail Sabri dalam lawatan rasmi pertama ke Sabah sempena sambutan Hari Malaysia esok, berkata MA63 adalah asas pembentukan persekutuan Malaysia yang tanpanya, negara ini mungkin tidak wujud.

“MA63 adalah asas untuk mengekalkan persekutuan dan mengukuhkan perpaduan serta solidariti. Justeru, menyelesaikan ketidakpatuhan terhadap perjanjian itu adalah sangat penting.

“Kita perlu sentiasa ingat bahawa tidak mungkin ada persekutuan Malaysia jika tiada MA63,” katanya.

Ahli Parlimen Kota Marudu itu berkata, ramai pemimpin negara, termasuk pentadbir kerajaan tidak memberikan penghormatan yang sewajarnya terhadap kepentingan MA63.

Jelasnya, ancaman yang semakin melebar berkaitan rasa kecewa dan tidak senang hati khususnya dalam generasi muda Sabah dan Sarawak juga adalah satu realiti.

Perkara itu katanya perlu dipandang serius memandangkan rakyat mempunyai ruang yang luas untuk menyatakan rasa tidak puas hati, lebih-lebih lagi ketika ini generasi muda sangat mudah mendapat maklumat tidak tepat berkaitan sejarah pembentukan Malaysia.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|