Puteri Umno bantu golongan terjejas akibat pandemik, PKP

Puteri Umno bantu golongan terjejas akibat pandemik, PKP

Kota Kinabalu: Pergerakan Puteri Umno di semua bahagian di Sabah akan terus digerakkan untuk melaksanakan tanggungjawab sosial membantu masyarakat sepanjang tempoh sukar akibat penularan pandemik Covid-19.

Ketua Puteri Umno Sabah, Dr Fadilah Sarbi, berkata banyak pihak terjejas dan memerlukan bantuan akibat pandemik berkenaan, ditambah lagi dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, sumbangan perlu diagihkan kepada golongan yang terjejas tidak kira berapa jumlah atau bentuk sumbangan yang dapat diberikan kerana maknanya amat besar kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

“Parti khususnya Puteri Umno perlu terus aktif memberi sumbangan kepada masyarakat termasuklah dalam bidang pendidikan dan bidang lain yang memberi manfaat kepada pembangunan rakyat selain menumpukan kepada politik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan makanan kering dan dua set penyukat suhu di Sekolah Kebangsaan (SK) Malawa, Manggatal, dekat sini, har ini.

Hadir sama ialah Guru Besar SK Malawa, Jaimie Mosliem dan ahli jawatankuasa Pergerakan Puteri Umno Sabah.

Dalam pada itu, Dr Fadilah yang juga Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, mengajak masyarakat agar terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

Beliau berkata, masyarakat juga perlu memahami kepentingan vaksin Covid-19 dan memastikan tidak ketinggalan untuk mendapatkan suntikan tanpa perlu takut atau was-was untuk menerimanya.

“Kerajaan hari ini sudah melakukan transformasi bagi pemberian vaksin kepada rakyat dengan pembukaan lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) selain pemberian vaksin secara tanpa temujanji yang perlu dimanfaatkan oleh orang ramai.

“Hampir setiap pertubuhan kesihatan percaya dan yakin bahawa vaksin adalah pelaburan terbaik untuk kesihatan awam. Vaksin terbukti menyelamatkan jutaan nyawa dan melindungi jutaan manusia daripada penderitaan dan kesengsaraan.

“Dalam konteks Covid-19, diakui vaksin adalah ikhtiar bagi memastikan kita tidak dijangkiti virus pembunuh berkenaan. Lantaran itu, rakyat Malaysia harus patuh dan memberi kepercayaan penuh kepada kerajaan bagi menangani pandemik menerusi penggunaan vaksin,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|