Seluruh Sabah zon merah kecuali Tambunan, Nabawan

Seluruh Sabah zon merah kecuali Tambunan, Nabawan

Kota Kinabalu: Hampir semua daerah di Sabah kini berada dalam zon merah Covid-19 kecuali hanya dua daerah dalam zon jingga iaitu Tambunan dan Nabawan.

Jurucakap perkembangan Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata secara keseluruhan sebanyak 25 daripada 27 daerah kini berada dalam zon merah.

“Daripada 25 daerah zon merah, Kota Kinabalu mencatat kes jangkitan paling tinggi iaitu sebanyak 239 kes hari ini, diikuti Tawau (137), Tuaran (114) dan Penampang (106).

“Sebanyak 16 daerah pula mencatat kes dua angka, manakala lima daerah dalam zon merah mencatat kes satu angka,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Sabah mencatat 1,062 kes baharu positif Covid-19 hari ini dengan sembilan kematian iaitu empat di Kota Kinabalu, dua di Sipitang dan masing-masing satu di Tawau, Sandakan dan Kudat.

Masidi berkata seramai 622 pesakit Covid-19 dibenarkan keluar hospital hari ini, manakala 4,460 masih dirawat termasuk 122 dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 54 orang memerlukan alat bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata sebanyak 156 lokaliti di seluruh Sabah masih diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga hari ini.

Katanya, jumlah tertinggi ialah di Kota Kinabalu sebanyak 26 PKPD, diikuti Tawau (17), Penampang (16), Beaufort dan Keningau masing-masing 14 lokaliti, Tuaran (13), Sandakan dan Sipitang masing-masing sembilan lokaliti, Kudat (tujuh) dan Papar (lima).

Lokaliti lain ialah di Kinabatangan (empat), Kota Belud, Putatan, Ranau dan Tenom masing-masing tiga, diikuti Beluran, Kota Marudu dan Telupid masing-masing dua lokaliti serta masing-masing satu lokaliti di daerah Kuala Penyu, Kunak, Lahad Datu dan Tongod.

Tambahnya, tiga lagi lokaliti akan dikenakan PKPD di Sabah bermula 7 Ogos hingga 20 Ogos iaitu di Perumahan Kilang Sawit Veetar, Tongod; Kampung Baru Pasir Putih, Tawau dan Kampung Wallace Bay, Pulau Sebatik, Tawau.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|