Paut mayat rakan, elak hanyut dibawa arus

Paut mayat rakan, elak hanyut dibawa arus

Kota Kinabalu: Seorang lelaki terpaksa memegang erat rakannya yang parah lebih tiga jam selepas bot dinaiki mereka dirempuh bot lain di kawasan perairan berhampiran Pulau Mamutik, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.40 pagi itu, rakan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan serius di kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Abdul Hasyim Onong, 35, manakala seorang lagi mangsa Edhar Ahali, 35, hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar di sebuah klinik swasta.

Katanya, siasatan awal mendapati, kedua-dua mangsa yang tinggal di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya, keluar memancing di lokasi kejadian kira-kira jam 10 malam.

“Bagaimanapun, pada jam 2.40 selepas selesai memancing, kedua-dua mangsa dikatakan dalam perjalanan balik sebelum tiba-tiba dirempuh sebuah lagi bot dari arah belakang.

“Kejadian mengakibatkan bot dinaiki pecah dan menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak ke laut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, bot yang merempuh mangsa dikatakan terus melarikan diri meninggalkan tempat kejadian.

Katanya, mangsa yang cedera kemudian berpaut pada serpihan bot sambil menarik rakannya sebelum diselamatkan nelayan kira-kira jam 6 pagi.

“Kedua-duanya dihantar pulang ke rumah mereka dan mangsa yang terselamat mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan polis.

“Mangsa yang meninggal dunia kemudian sudah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) bagi tujuan bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, Mohd Zaidi berkata, hasil siasatan lanjut, polis berjaya merampas sebuah pam bot bersama enjin yang dipercayai terbabit dalam kes ini.

Katanya, usaha memburu suspek dalam kes ini sedang giat dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 280 Kanun Keseksaan kerana mengendalikan perahu dengan gopoh.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|