Lahad Datu: Setiap kali tibanya musim durian di negeri ini, senarionya pasti sama iaitu ramai peniaga baharu akan muncul dengan menjual raja buah itu ditepi jalan menggunakan kenderaan masing-masing.
Namun, berdasarkan tinjauan yang dibuat baru-baru ini, bukan saja kemunculan peniaga baharu malah ia kelihatan semakin ramai berbanding tahun-tahun sebelum ini seluruh Sabah.
Ramai berpendapat ini, ia mungkin disebabkan desakan hidup ketika pandemik Covid-19 yang menyebabkan ramai terkesan dan menghadapi masalah kewangan.
Antara peluang keemasan yang boleh dimanfaatkan untuk menambah sumber pendapatan semestinya adalah dengan berniaga buah-buahan.
Bagi daerah Lahad Datu, kawasan Bandar Fajar dilihat menjadi kawasan jualan apabila deretan peniaga durian muncul malam hari.
Salah seorang peniaga, Sitti Khadija Harun, 21, yang juga seorang pelajar universiti berkata, kehidupan mereka sekeluarga amat terkesan dengan pandemik Covid-19.
Sitti Khadija Harun.
Katanya, dia yang kini belajar menerusi kuliah atas talian (online) mengambil inisiatif menjual durian bagi menambah pendapatan.
“Keluarga kami memang tidak berkerja dan hanya bergantung kepada perniagaan sepenuh masa sebelum pandemik ini.
“Sekarang, kami menjual buah-buahan sebagai tambahan pendapatan kerana sebelum ini hanya berniaga kolam penternakan ikan,” katanya.
Seorang lagi peniaga yang juga pemilik kuari pasir, Loy Ah Liong berkata, dia menjual durian selepas perniagaannya sedikit terjejas sejak pelaksanaan beberapa sekatan dalam tempoh Covid-19 ini.
Loy Ah Liong.
Katanya, dia tidak pernah menerima bantuan kerajaan dan cuba menjual buah di tepi jalan untuk menambah pendapatan.
“Jual buah-buahan ini hanya sekali setahun, lagipun memang hobi berniaga sejak bujang hingga berkeluarga.
“Isteri dan anak turut menyokong hobi ini dan ditambah pula dengan pandemik Covid-19 yang menjejaskan perniagaan kuari pasir kami,” katanya.
Tidak kurang juga dengan nasib seorang suri rumah, Norsiah Aliury yang menyatakan berniaga buah-buahan ini adalah alternatif demi kelangsungan hidup mereka sekeluarga.
Norsiah Aliury.
Katanya, secara tidak langsung membantu suaminya untuk mencari pendapatan lebih ketika era pandemik Covid-19 ini.
“Saya ada empat anak yang masih bersekolah,saya hanya mahu membantu suami cari makan bagi menambah pendapatan keluarga.
“Dalam keadaan ini, memang agak susah kerana pandemik Covid-19 sangat mencabar dan memberi kesan yang sangat buruk kepada pelbagai sektor ekonomi,” katanya.
Namun Norsiah berkata, semua orang tidak harus berputus asa dan sebaiknya mencari jalan bagaimana untuk menambah sumber pendapatan.
-Deasoka