JPWPL kaji semula Pelan Taktikal berikutan pandemik

JPWPL kaji semula Pelan Taktikal berikutan pandemik

Labuan: Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan (JPWPL) menyemak semula perancangan jabatan itu melalui Pelan Taktikal 2021 untuk disesuaikan dengan situasi semasa berikutan penularan pandemik Covid-19.

Pengarahnya, Yusup Mohamad, berkata, semua sektor di jabatan berkenaan perlu membuat semakan semula Pelan Taktikal masing-masing supaya kekal relevan ke arah meningkatkan prestasi murid dan pelajar serta kualiti sekolah di Labuan.

Langkah itu katanya sejajar dengan usaha merealisasikan 10 perkara yang digariskan dalam perancangan lima tahun Pelan Strategik JPWPL 2021-2025 yang bertemakan ‘Pendidikan Komprehensif Minda Kelas Pertama’.

Beliau berkata, JPWPL menekankan usaha meningkatkan kualiti pengurusan organisasi dengan cara yang sesuai dalam keadaan mencabar ketika ini supaya sistem penyampaian jabatan tidak terjejas.

“Kita perlu bertindak secara lebih kreatif dan inovatif dalam situasi mencabar sekarang ini bagi melaksanakan aktiviti-aktiviti yang berfaedah terutamanya kepada murid dan pelajar di Labuan,” katanya dalam ucaptama bengkel kajian semula Pelan Taktikal 2021 JPWPL, baru-baru ini.

Bengkel tiga hari itu turut disertai Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid JPWPL, Abdul Rahman Ahmad; Timbalan Pengarah Sektor Perancangan JPWPL, Mohd Nizam Yasim; Penolong Pengarah Sektor Perancangan JPWPL, Faridah Amit; Yang Dipertua Majlis Pengetua Sekolah Menengah (MPSM) Labuan, Ismail Abdullah dan Setiausaha Majlis Guru Besar (MGB) Labuan, Abdul Rahman Salim.

Sementara itu, Faridah yang juga penyelaras bengkel, berkata tujuan utama bengkel berkenan adalah untuk menyelaras semula pelan taktikal untuk mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan sebelum ini.

“Kita maklum bahawa Pandemik COVID-19 menukar cara dan kaedah kita melaksanakan aktiviti. Di samping itu terdapat halangan aktiviti secara bersemuka dalam kalangan pegawai, guru dan murid.

“Justeru bengkel ini memberi peluang kepada semua sektor untuk membuat penyelarasan semula sasaran KPI dan aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan untuk penggal kedua tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata pengubahsuaian terhadap semua aktiviti murid dan pelajar terpaksa dilakukan berikutan situasi pandemik yang belum reda.

“Bagaimanapun kita akan menyesuaikan pelaksanaan aktiviti bagi memberi peluang kepada murid dan pelajar untuk terus aktif. Kita akan perbanyakkan aktiviti dan pertandingan secara dalam talian. Selain itu, penyertaan murid juga boleh dibuat melalui rakaman video,” katanya.

Di akhir bengkel, Mohd Nizam merumuskan keputusan dan perubahan yang dipersetujui bersama melalui bengkel berkenaan dan menghargai komitmen semua ahli bengkel yang menjayakan bengkel kajian Pelan Taktikal JPWPL bagi setengah tahun 2021.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|