Tawau: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menahan seramai 155 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan di dua lokasi membabitkan kampung di Jalan Tanah Merotai dan Jalan Kinabutan, di sini, dalam Operasi Patuh Bersepadu yang berakhir malam tadi.
Operasi yang bermula jam 12 tengah malam itu dijalankan dengan kerjasama Sabah Electricity Sdn Bhd membabitkan 98 anggota dan pegawai dari kedua-dua agensi.
Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Jonathan Yasin berkata, operasi diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen (TPPI) Razman Manap @ Maznan daripada Unit Penguatkuasa, Pejabat Imigresen Tawau.
Katanya, hasil serbuan, operasi berkenaan berjaya menahan keseluruhan seramai 182 orang untuk pemeriksaan awal.
“Daripada jumlah itu hanya 155 individu ditahan membabitkan 49 lelaki dan 67 wanita dewasa serta 39 kanak-kanak.
“Semua yang ditahan berusia lingkungan setahun hingga 77 tahun,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Jonathan berkata, mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pasport atau pas yang sah serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal lebih masa selepas tamat tempoh pas.
Selain itu katanya, siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 kerana membenarkan pendatang tanpa izin memasuki atau tinggal dalam premis yang diselia dan diurus mereka.
“Objektif utama operasi ini dilaksanakan adalah nagi membenteras kehadiran PATI dan mana-mana orang yang melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen dan Akta Anti Perdagangan dan Anti Penyeludupan Migran 2007.
“Tumpuan Operasi ini juga turut menjurus kepada majikan-majikan yang disyaki mengambil pekerja PATI, melindungi PATI dan sindiket yang membawa masuk PATI ke negara ini,” katanya.
Jonathan berkata, tindakan akan diambil selaras dengan peruntukkan undang-undang tanpa kompromi.
Katanya, dalam pada itu, semua tahanan juga diarahkan menjalani proses tapisan kesihatan yang ketat termasuk ujian saringan Covid-19 bagi memastikan tidak wujud penularan jangkitan di depot tahanan Imigresen.
“Ia seiring dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” tegasnya.
Sementara itu, Jonathan berkata, sepanjang tahun ini, sebanyak 610 operasi sudah dijalankan JIM Negeri Sabah dan berjaya menahan seramai 1,069 PATI.
Katanya, dalam tempoh sama, seramai 34 orang majikan juga sudah didakwa manakala 1,740 orang tahanan warga asing sudah diusir balik ke negara asal.
“JIM Sabah ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada orang awam yang memberikan maklumat sehingga tertangkapnya sejumlah PATI yang tidak mematuhi undang-undang.
“Saya menasihatkan masyarakat supaya tidak sesekali cuba melindungi PATI di negeri ini dan melaporkan dengan segera sekiranya terdapat aktiviti PATI di kawasan mereka,” katanya.
-Deasoka