Program outreach, permudahkan penduduk luar bandar terima vaksin

Program outreach, permudahkan penduduk luar bandar terima vaksin

Beaufort: Program ‘outreach’ vaksinasi yang dilaksanakan di daerah ini dapat membantu penduduk yang jauh untuk mendapatkan vaksin Covid-19 di kawasan masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Ruslan Muharam berkata, ia adalah salah satu usaha pihaknya ‘turun padang’ bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melakukan vaksinasi kepada penduduk di kawasan kampung di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan.

“Program outreach ini bagi memudahkan penduduk datang ke dewan ini dengan berjalan kaki atau menaiki basikal untuk mendapatkan vaksin.

“Ini sekali gus menjimatkan kos dan tenaga berbanding terpaksa turut ke pusat pemberian vaksin (PPV) di pekan dan ini juga bagi memastikan mereka tidak tercicir daripada mendapatkan vaksin,” katanya kepada media selepas hadir ke Program Outreach Vaksinasi Mukim Lumadan, di Dewan Sri Dayang, di Kampung Lumadan, semalam.

Mengulas lanjut, beliau menjangkakan daerah itu akan mencapai hampir 100 peratus penduduk menerima vaksin menjelang September ini.

“Jumlah populasi seluruh daerah Beaufort termasuk DUN Klias dan Membakut adalah seramai 82,700 dan populasi untuk 18 tahun ke atas adalah seramai 52,700.

“Sehingga kini jumlah penduduk yang telah diberikan vaksin mencapai 48,087 orang, jadi maknanya telah mencapai 91.02 peratus.

“Jadi kita jangkakan, September ini dapat mencapai sekurang-kurangnya 98 peratus penduduk diberi vaksin,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut berkata, pelbagai usaha akan dilaksanakan bagi ‘memujuk’ penduduk yang masih belum terbuka hati untuk mendapatkan vaksin.

“Bagi mereka yang belum terbuka untuk menerima vaksin ini, kita akan gerakkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Ketua Kampung dan Ketua Anak Negeri untuk memujuk mereka ini.

“Selepas itu, kita akan bawa KKM datang ke rumah untuk memberi vaksin kepada mereka. Saya yakin dengan kempen ini, mereka dapat menerima vaksin,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|