Muhyiddin akui hilang majoriti punca letak jawatan

Muhyiddin akui hilang majoriti punca letak jawatan

Putrajaya: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau bersama seluruh anggota Kabinet membuat keputusan meletak jawatan selepas hilang sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Dalam perutusan khasnya sebentar tadi, beliau berkata keputusan itu juga diambil selepas cadangan kerjasama bipartisan yang dikemukakannya sebelum ini tidak mendapat sokongan daripada parti lawan.

Katanya, peletakan jawatan beliau dan seluruh anggota Kabinetnya adalah selaras dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan.

Sebentar tadi, Yang di-Pertuan Agong dalam kenyataan media Istana Negara menyatakan berkenan menerima peletakan jawatan Perdana Menteri dan anggota Kabinetnya.

Seri Paduka Baginda turut berkenan supaya Muhyiddin menjadi ‘caretaker’ Perdana Menteri sehingga seorang Perdana Menteri baharu dilantik.

Sementara itu, Muhyiddin berharap kerajaan baharu dapat dilantik segera supaya pentadiran negara tidak terganggu dan berjalan seperti biasa terutama dalam memastikan program imunisasi Covid-19 untuk mencapai imuniti kelompok yang disasar pada Oktober depan.

Katanya, segala perancangan yang digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) juga tidak boleh terbantut.

“Sektor ekonomi perlu dibuka semula untuk kita pastikan ekonomi negara dapat pulih dengan segera dan rakyat dapat menjana pendapatan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya program vaksinasi tidak boleh terganggu lebih-lebih lagi Malaysia adalah antara negara paling aktif melaksanakan pemvaksinan.

Muhyiddin turut menjelaskan bahawa rakyat tidak perlu bimbang mengenai bekalan vaksin kerana kerajaan sebelum ini sudah menempah lebih 80 juta dos vaksin bernilai RM4.36 bilion.

Jumlah itu, katanya lebih daripada mencukupi untuk rakyat Malaysia dan beliau turut berharap agar kerajaan baharu nanti memastikan vaksinasi berjalan lancar untuk mencapai imuniti kelompok.

Muhyiddin turut memohon maaf atas segala kekhilafan sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri dan menyatakan bahawa beliau dan jemaah Kabinetnya sudah melakukan yang terbaik kepada negara terutama dalam memerangi Covid-19.

Beliau juga tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada semua barisan hadapan yang bertungkus lumus menangani pandemik Covid-19, selain turut berterima kasih kepada semua penjawat awam yang komited melaksanakan tanggungjawab sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri.

Sementara itu, Muhyiddin juga menyatakan penghargaan terhadap kerjasama yang diberikan kepemimpinan BERSATU, Perikatan Nasional (PN) serta komponennya termasuk PAS, SAPP, STAR, GPS dan Ahli Parlimen UMNO yang menyokongnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|