Covid-19 Sabah: Kota Kinabalu kembali catat kes tertinggi

Covid-19 Sabah: Kota Kinabalu kembali catat kes tertinggi

Kota Kinabalu: Daerah Kota Kinabalu kembali mencatat kes tertinggi Covid-19 hari ini dengan 361 kes baharu, bertambah 154 kes berbanding semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata Tawau dan Sandakan menyusul di belakang dengan 254 kes dan 243 kes baharu hari ini.

“Secara keseluruhan Sabah menambah 63 kes baharu hari ini kepada 1,728 kes. Kota Kinabalu kembali berada di atas dengan 361 kes, iaitu 154 lebih tinggi daripada semalam.

“Tawau mencatat 254 kes, Sandakan (243); Tuaran149 kes (+93); Penampang, 138 kes; Kinabatangan, 71 kes (-81); Keningau (67), Beluran (59), Kota Belud (57) dan Ranau (31),” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, satu kluster baharu turut direkodkan hari ini iaitu Kluster Cenderawasih di Lahad Datu yang setakat ini merekodkan lapan kes termasuk satu kes baharu.

Masidi berkata, saringan melalui kontak rapat terus menjadi penyumbang utama kes baharu di Sabah dengan 962 kes(55.7 peratus), saringan bergejala 461 kes (26.7 peratus) dan kes daripada kluster sebanyak 134 kes (7.8 peratus).

“Di Kota Kinabalu, peratusan kategori bergejala amat tinggi, iaitu 43.2 peratus, Penampang (38.4 peratus), Tawau (30 peratus) dan Sandakan (22.2 peratus).

“Daripada 1,728 kes hari ini, 763 kes (44.2 peratus) adalah daripada kategori 2, sebanyak 366 kes (21.2 peratus) adalah daripada kategori 1 dan 587 kes (34 peratus) masih dalam siasatan.

“Kategori 3 seramai 10 orang pesakit, manakala masing-masing seorang pesakit dalam kategori 4 dan kategori 5,” katanya.

Sementara itu, katanya setakat semalam 46.2 peratus penduduk dewasa Sabah sudah memperolehi satu dos vaksin dan 22.7 peratus sudah melengkapkan pengambilan dua dos vaksin.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|