Kota Belud: Sasaran untuk mencapai 80 peratus penerima vaksin Covid-19 di daerah ini akan mampu dicapai menjelang Oktober depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, dengan adanya perancangan yang baik, sasaran itu akan dapat direalisasikan.
Katanya, ia terbukti dengan kehadiran lebih 1,000 penduduk yang mendaftar pada program outreach vaksin yang diadakan Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Abai, hari ini.
“Hari ini kita adakan program outreach vaksinasi di kawasan Usukan dan sambutannya amat mengalakkan, lebih seribu orang sudah mendaftar.
“Ini menunjukkan, jika kita mempunyai perancangan untuk turun ke bawah ia akan mendapat sambutan masyarakat setempat,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Salleh berkata, beliau percaya pembekalan vaksin yang mencukupi di Sabah akan mudah untuk menentukan kejayaan sasaran dengan perancangan yang lebih berkesan.
Katanya, satu-satunya cara untuk keluar daripada pandemik Covid-19 adalah dengan memastikan majoriti penduduk kita divaksinkan.
“Tengoklah di Wilayah Persekutuan Labuan, apabila hampir 100 peratus masyarakat pulau berkenaan divaksinkan, kadar kes jangkitan dengan sendirinya menurun.
“Kita tidak sama dengan di Semenanjung Malaysia, di negeri ini kawasan kita lebih besar, sistem logistik penting dan persiapan awal harus dilakukan.
“Itulah sebabnya, pertama kita mesti tentukan ada vaksin yang mencukupi bekalannya. Kedua, jadualnya juga mesti tepat kerana apabila mendaftar, rakyat ingin terus divaksinkan,” katanya.
Salleh yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, program outreach ini juga penting bagi memastikan mereka yang berada di luarbandar dapat divaksinkan.
Katanya, sebagai ADUN Usukan, beliau sudah mengatur strategi dengan mengembeling tenaga termasuk unit Pemimpin Kemajuan Masyarakat untuk terbabit dalam proses mendaftar.
“Kita juga membabitkan Ketua Kampung, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan pemimpin tempatan. Tidak hanya tertumpu kepada pendaftaran melalui MySejahtera saja dan ia lebih berkesan.
“Jadi kalau ada tuduhan bahawa masyarakat tidak mahu divaksinkan, itu tidak tepat sekali. Kerana rakyat ingin keluar daripada pandemik Covid-19 ini dan balik dengan norma kehidupan dahulu,” katanya.
Tambah beliau lagi, kita bukan hanya mahu bergantung kepada bantuan makanan semata mata kerana rakyat ingin mencari jalan agar dapat merebut peluang ekonomi seperti dahulu.
Katanya, perkara itu sudah dijelaskan, namun sekiranya masyarakat tidak faham pentingnya vaksin, sasaran ini tidak akan dapat direalisasikan.
“Program seperti ini membolehkan kita untuk mendampingi rakyat dan sekali gus memberi maklumat betapa pentingnya menerima vaksinasi.
“Rakyat juga perlu sedar, walaupun sudah divaksinkan, tidak semestinya sudah bebas dari risiko jangkitan Covid-19. Itulah sebabnya kita kena pastikan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) sedia ada,” katanya.
-Deasoka