Op Bantu IPD KK di Pulau Gaya

Op Bantu IPD KK di Pulau Gaya

Kota Kinabalu: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menyampaikan 25 bakul makanan dalam Op Bantu yang dijalankan di Pulau Gaya, di sini, hari ini.

Bantuan bakul makanan itu diserahkan kepada penduduk yang terjejas berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 8 Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, Op Bantu dijalankan sebagai respon kepada permintaan penduduk di pulau berkenaan.

Katanya, bantuan itu diberikan selepas tapisan dilakukan bagi memastikan pihak yang benar-benar terkesan terutama keluarga yang mempunyai anak kecil dapat dibantu.

“Penduduk di Pulau Gaya mencecah hampir 15,000 orang. Tapisan perlu dibuat terlebih dahulu untuk mengenalpasti mereka yang perlu didahulukan.

“Selain bakul makanan, kita turut memberikan makanan seperti susu dan nestum kepada ketua isi rumah di beberapa rumah lain dan ada juga yang datang menemui kita di tengah laut,” katanya ketika ditemui selepas program berkenaan, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, pihaknya berharap lebih ramai pihak akan tampil untuk menyalurkan bantuan selepas ini.

Katanya, bantuan ini akan diteruskan lagi di kawasan lain bagi membantu penduduk yang terjejas akibat pandemik Covid-19 di sekitar daerah ini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pelaksanaan PKPD di pulau berkenaan, Mohd Zaidi berkata, pihaknya berdepan sedikit kesukaran dalam mengawal pergerakan pada peringkat awal ia dilaksanakan.

Namun katanya, ia dapat dikawal sebaiknya selepas mendapat bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Jabatan Laut.

Untuk rekod, bantuan bakul makanan itu adalah inisiatif IPD Kota Kinabalu dengan kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk syarikat pengeluar produk makanan Adabi dan badan bukan kerajaan (NGO).

Ia diadakan bagi membantu mereka yang terjejas terutama membabitkan keluarga yang mempunyai kanak-kanak atau bayi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|