Kota Kinabalu: Sabah FC terpaksa beraksi tanpa tiga tonggak utama apabila turun menentang Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam esok.
Ketua jurulatih, Kurniawan Dwi Yulianto berkata, tiga pemain itu ialah Alto Linus dan Randy Baruh yang masing-masing telah mengumpul tiga kad kuning manakala pertahanan import, Park Taesu masih cedera selepas aksi menentang Sri Pahang FC, tempoh hari.
Bagaimanapun, katanya, beberapa pemain lain diyakini mampu menggalas tugas yang ditinggalkan tiga tonggak berkenaan namun keputusan mengenai siapa yang akan beraksi hanya akan diputuskan selepas latihan petang ini.
“Kita kehilangan tiga tonggak tetapi kita tetap harus mengharungi perlawanan tanpa mereka dan saya yakin pemain lain mampu menggalas tugas menggantikan mereka.
“Saya juga pemain yang dimasukkan nanti sudah bersedia untuk menghadapi perlawanan yang berat, lebih-lebih lagi kami akan beraksi di gelanggang lawan.
“Diharapkan semua pemain akan tetap bersemangat serta berkeyakinan untuk beraksi malam esok, sekali gus mencapai satu keputusan baik.
“Saya harap semua pemain tetap bersemangat dan yakin untuk menghadapi perlawanan malam esok sekali gus mencapai satu keputusan yang baik,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Kurniawan berkata, beberapa kesilapan ketika aksi menentang Sri Pahang FC, sebelum ini, juga sudah dikenalpasti dan mereka akan berusaha bagi mengelak melakukan perkara sama.
Bagaimanapun, katanya, pemain juga perlu bekerja keras untuk memberi tentangan hebat kepada lawan seterusnya membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata dari gelanggang lawan.
“Saya selalu menekankan kepada pemain bahawa semua perlawanan harus sama-sama dipikul dan selalu menganggap semua perlawanan adalah final.
“Dalam perlawanan bola sepak apapun boleh berlaku, mudah-mudahan kita dapat mencuri mata di gelanggang lawan malam esok.
“Mengutip mara dalam perlawanan (bertemu TFC) ini juga penting bagi menaikkan moral dan semangat pasukan untuk aksi seterusnya bertemu Kuala Lumpur FC di Stadium Likas, di sini, pada 4 Ogos depan,” katanya.
Selepas 15 perlawanan, Sabah kini berada di kedudukan kelapan Liga Super dengan 17 mata hasil daripada empat kemenangan, lima seri dan enam kekalahan.
Sementara itu, TFC kini berada di kedudukan kedua selepas mengutip 30 mata dari 15 aksi iaitu menang sembilan kali, tiga seri dan tiga kekalahan.
-Deasoka