Lelaki parah jatuh dari tingkat 5

Lelaki parah jatuh dari tingkat 5

Penampang: Seorang pekerja pusat binaan parah selepas terjatuh dari tingkat lima bangunan yang sedang dibina, di Jalan Cyber City, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, mangsa warganegara China terbabit dikatakan patah tulang rusuk dan kaki serta cedera di kepala akibat kejadian berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.34 pagi.

Katanya, seramai 11 anggota dan pegawai bersama dua jentera dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak sejauh enam kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang.

“Beberapa pekerja yang menyedari kejadian itu terus membantunya dengan menurunkan mangsa yang tersangkut di tingkat empat bangunan berkenaan.

“Sebaik tiba, mangsa terus diberikan rawatan awal oleh pasukan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudiannya terus dihantar ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Katanya, operasi tamat pada jam 9.10 pagi dan pasukan JBPM terus beredar dari lokasi kejadian selepas tiada kemerbahayaan lain yang dikesan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|