PPM tahan lelaki sorok syabu dalam beg

PPM tahan lelaki sorok syabu dalam beg

Lahad Datu: Helah seorang lelaki menyembunyikan dadah jenis syabu di dalam beg yang dibawanya gagal mengaburi pihak berkuasa apabila ditahan dalam Op Benteng Covid-19, di kawasan perairan laut Bakapit, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian itu juga, Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu turut merampas beberapa keping aluminium yang disyaki gunakan untuk menagih dadah berkenaan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah 4 Sabah Lahad Datu, Superintendan Gan Ping Sin berkata, PPM yang sedang menjalankan operasi menahan sebuah bot laju yang dinaiki seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan menemui paket kecil lutsinar berisi ketulan kristal yang disyaki dadah jenis syabu dan beberapa keping aluminium yang disembunyikan oleh suspek di dalam beg.

“Nilai rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM3,000,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, suspek berusia lingkungan 30 tahun dan barang rampasan diserahkan kepada Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14(1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1953,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa menggalakkan semua masyarakat pesisir pantai untuk memberikan kerjasama menyalurkan maklumat sekirannya terdapat kegiatan jenayah di kawasan mereka.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|