Syabu tercicir dari topi

Syabu tercicir dari topi

Beaufort: Kegiatan penagihan dadah seorang lelaki terbongkar selepas dadah disembunyikan di dalam topi yang dipakai tercicir ketika keluar dari kenderaan polis.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, lelaki berusia 43 tahun itu pada awalnya ditahan untuk pemeriksaan di pekan Membakut Jaya, di sini, semalam.

Katanya, pemeriksaan itu dijalankan selepas lelaki terbabit dilihat mencurigakan di dalam sebuah kereta Proton Wira.

“Pada pemeriksaan awal di badan lelaki terbabit mendapati tiada sebarang penemuan barang salah dan suspek terus dibawa ke Balai Polis Membakut untuk tindakan selanjutnya.

“Bagaimanapun, ketika dibawa keluar dari kereta polis, satu bungkusan kecil berisi ketulan hablur tiba-tiba terjatuh dari topi suspek,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, pemeriksaan lanjut mendapati bungkusan berkenaan mengandungi dadah jenis syabu seberat 0.09 gram.

Katanya, suspek terus ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort untuk tindakan selanjutnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|