Berpakaian tradisi semarakkan sambutan Hari Kebangsaan, Hari Malaysia

Berpakaian tradisi semarakkan sambutan Hari Kebangsaan, Hari Malaysia

Kota Kinabalu: Perasaan rindu mengenakan pakaian tradisional menjadi pendorong kepada Ketua Kampung dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk hadir pada Program Merdeka @ Komuniti di Pusat Pemberian Vaksin Kampung Dato, di sini, semalam.

Kehadiran mereka yang lengkap berpakaian tradisi itu ternyata menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2021.

William memotong kek Hari Malaysia pada program berkenaan. Ihsan Jabatan Penerangan.

Pengerusi JPKK Kampung Muhibbah Baru Tebobon, Magital Yandang @ Nelson Andang, 50, berkata, kebiasaannya pakaian itu dipakai semasa perayaan seperti Pesta Kaamatan, majlis perkahwinan dan juga persembahan kebudayaan.

Bagaimanapun katanya, beliau percaya pakaian tradisi adalah jati diri sesuatu kaum dan sesuatu yang boleh dibanggakan.

“Saya bangga memperagakan pakaian tradisi suku kaum Rungus yang merupakan salah satu etnik bumiputera di negeri ini.

“Sebelum ini, saya bersama Persatuan Momogun Rungus Sabah (SAMORA) turut  terbabit secara langsung dalam aktiviti sambutan HKHM seperti perarakan dan persembahan kebudayaan di peringkat kampung dan negeri,” katanya ketika ditemui.

Magital berkata, ibu bapa dan orang terdekat boleh memainkan peranan penting untuk menghidupkan semangat patriotisme dalam jiwa generasi muda.

Petugas RELA, Awang Nirwan Abbas (kiri). Pesara DBKK, Rosilen Matusin (kanan). Ihsan Jabatan Penerangan

“Anak-anak perlu didedahkan dan digalakkan menyertai menyertai aktiviti sambutan peristiwa penting negara seperti sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia supaya dapat meniupkan semangat patriotisme dalam jiwa mereka.

“Dalam keadaan pandemik Covid-19 ini, antara yang boleh kita lakukan adalah membabitkan anak-anak untuk bersama-sama dalam aktiviti seperti memasang Jalur Gemilang dan bendera negeri di kawasan rumah.

“Begitu juga dengan mengikuti pertandingan-pertandingan yang diadakan secara maya dan menyanyikan lagu-lagu patriotik secara santai santai bersama keluarga di rumah,” katanya.

Sementara itu, pesara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Rosilen, 57, berkata, menjadi johan pertandingan perbarisan semasa sambutan HKHM adalah antara kenangan indah sepanjang perkhidmatannya bersama agensi terbabit.

Bagaimanapun katanya, ketika ini, kita mungkin tidak dapat meraikan sambutan HKHM semeriah yang boleh dilakukan sebelumnya.

“Tetapi jika kita saling berganding bahu memerangi Covid-19 dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan, saya percaya kita akan kembali bebas melakukan aktiviti seperti sediakala dan dapat meraikan HKHM dengan meriah seperti dahulu.

“Kejayaan negara menangani pandemik ini bergantung kepada rakyat, jadi marilah kita bersama-sama memerangi pandemik ini supaya ekonomi dan kehidupan harian dapat dipulihkan secepatnya,” katanya.

Bagi seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Awang Nirwan Abbas, 20, pula berkata, sebagai barisan pelapis kepimpinan negara, generasi muda harus menggalas tanggungjawab besar untuk memastikan kemerdekaan negara terus dipertahankan.

“Walaupun kita tidak terbabit dalam peperangan memperjuangkan kemerdekaan negara daripada penjajah tetapi usaha perlu kita lakukan dalam mengekalkan kemerdekaan ini.

“Ia seperti mengekalkan kesinambungan dan memberi penghargaan terhadap perjuangan generasi terdahulu,” katanya.

Awang berkata, selain mengibarkan Jalur Gemilang, generasi muda juga dapat menunjukkan rasa sayang kepada negara melalui kata-kata, pemikiran dan tindakan demi kesejahteraan bersama dalam membangunkan negara selepas pandemik Covid-19 ini.

Sementara itu, dalam program berkenaan, seramai 539 warganegara dan bukan warganegara menerima suntikan vaksin Covid-19 dos kedua menerusi Program Jangkauan Luar (Outreach) fasa kedua yang dilaksanakan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) Daerah Kota Kinabalu.

Hadir sama Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN N 18 Inanam, Datuk William Majimbun, Pegawai Penerangan Daerah Kota Kinabalu, Hasmawati Karroda dan Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) DUN N 18 Inanam, Nichol Unui.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|