Pemain dari Sabah kuasai skuad kebangsaan bola sepak wanita

Pemain dari Sabah kuasai skuad kebangsaan bola sepak wanita

Kota Kinabalu: Penyenaraian 12 pemain bola sepak wanita dari Sabah dalam skuad kebangsaan bagi menghadapi pusingan kelayakan Piala Asia Wanita 2022 membuktikan keupayaan wanita Sabah dalam membantu pasukan negara menghadapi cabaran kejohanan itu.

Naib Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Dr Jelani Hamdan, berkata pihaknya gembira dengan pemilihan 12 pemain terbabit dalam skuad kebangsaan kerana membuktikan Sabah memiliki pemain wanita yang berbakat.

“SAFA mengucapkan tahniah kepada pemain terbabit dan berharap mereka akan bermain dengan baik untuk membantu skuad kebangsaan dalam kejohanan itu,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemain dari Sabah itu adalah antara 23 pemain dalam skuad wanita kebangsaan yang sudah tiba di Palestin untuk menghadapi pusingan kelayakan kejohanan berkenaan.

Katanya, 12 pemain dari Sabah itu termasuk empat yang mewakili pasukan wanita Sabah iaitu Dadree Rofinus, Asma Junaidi, Jessica Susanne Mailu dan Pedrolia Martin Sikayun.

Manakala lapan pemain lagi ialah Siti Nurfaizah Saidin, Alice Mic Michael, Jaciah Jumilis, Eva Olivianie Antinus, Olevia Olga Sabrinus, Waitie Taming, Hentirtta Justine dan Hellma Emily Joinin yang mewakili pasukan bola sepak wanita di Semenanjung termasuk Melaka United dan Negeri Sembilan.

Jelani yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bolasepak Wanita SAFA, berkata seorang lagi pemain wanita negeri turut terpilih tetapi tidak dapat menyertai pasukan ke Palestin kerana didapati positif Covid-19.

Bagaimanapun, katanya, keadaannya tidak serius namun terpaksa menjalani kuarantin di Subang, Kuala Lumpur.

Skuad wanita Malaysia akan menentang pasukan Thailand dalam Kumpulan H pada hari ini dan kemudian bertemu tuan rumah, Palestin pada 22 September ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|