UMNO Sabah kehilangan pemimpin berjiwa kental – Bung Moktar

UMNO Sabah kehilangan pemimpin berjiwa kental – Bung Moktar

Kota Kinabalu : UMNO Sabah menyifatkan pemergian bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Datuk Nilwan Kabang sebagai kehilangan besar kepada rakyat khususnya UMNO negeri.

Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata Allahyarham yang meninggal dunia akibat COVID-19 awal pagi tadi adalah seorang pemimpin yang berjiwa kental dan tidak mudah menyerah kalah.

Beliau turut menyifatkan Allayarham sebagai seorang pemimpin yang sentiasa tenang dalam menghadapi apa saja cabaran.

“Allahyarham adalah seorang sahabat yang rapat dengan saya, kami berkecimpung dan berjuang dalam politik sejak era pemerintahan USNO.

“Kemudian kami sama-sama menyertai UMNO apabila parti ini melebarkan sayap ke Sabah, kami berjuang bersama. Sebab itu saya sifatkan Allahyarham seorang pemimpin berjiwa kental Dan sentiasa patuh kepada perjuangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri turut berkongsi kesedihan atas pemergian Allahyarham Nilwan.

“Bagi pihak keluarga besar UMNO Sabah, saya merakamkan ucapan takziah kepada isteri arwah, Datin Amnani Abdullah serta seluruh ahli keluarga.

“Semoga mereka tabah menghadapi saat sukar ini dan kami mendoakan moga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman,” katanya.

Nilwan, 71, dirawat di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu sejak awal bulan ini selepas disahkan positif COVID-19 sebelum dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.45 pagi tadi.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Penerangan UMNO Sabah menjadi ADUN Kunak selepas memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 dan sekali lagi mempertahankan kerusi pada PRU 2013.

Bagaimanapun, beliau tewas di tangan calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Norazlinah Arif pada PRU 2018 dan tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 pada September tahun lalu.

Sepanjang karier politiknya, Allahyarham pernah menjadi Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman selepas memenangi PRU 2013.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|