Projek Mitigasi Banjir Penampang perlu disambung semula dengan segera

Projek Mitigasi Banjir Penampang perlu disambung semula dengan segera

Penampang: Kejadian banjir yang berlaku di daerah Penampang Rabu lalu, menyebabkan kerosakan bukan saja kepada kemudahan awam tetapi juga rumah dan harta benda penduduk.

Malah dalam kejadian itu, banyak kenderaan milik penduduk turut rosak selepas dilanda banjir lumpur akibat tanah runtuh di kawasan berhampiran.

Kejadian itu mendapat perhatian Presiden kehormat UPKO Tan Sri Bernard Dompok yang turun padang meninjau keadaan penduduk di beberapa kampung sekitar, semalam.

Tan Sri Bernard dan Donald menyampaikan bantuan kepada penduduk Kampung Sugud yang jejas akibat banjir. Gambar ihsan UPKO.

Beliau yang diiringi Ahli Dewan Negara yang juga Ketua Bahagian UPKO Penampang, Datuk Donald Mojuntin turut menghulurkan sumbangan kepada keluarga mangsa banjir.

Datuk Donald berkata, kejadian banjir bukan pertama kali berlaku di daerah Penampang dan ia memerlukan perancangan strategik bagi menyelesaikan masalah itu daripada terus berulang.

Katanya, semua pihak juga perlu memastikan sistem perparitan yang berada dalam kawasan mereka sentiasa berfungsi dalam keadaan baik.

“Pihak berwajib perlu melakukan proses merangka kaedah tebatan banjir yang lebih baik berdasarkan berlakunya kejadian-kejadian luar jangka pada waktu ini.

“Kita dapati setiap kali musim hujan, air sungai akan melimpah dan beberapa kampung termasuk pekan Donggongon juga akan terus dinaiki air,” katanya ketika ditemui selepas meninjau kawasan dilanda banjir di Penampang petang semalam.

Donald berkata, antara langkah awal yang perlu dilakukan adalah untuk menyambung semula Projek Mitigasi Banjir Penampang yang sudah mendapat kelulusan pada tahun 2011.

Katanya, ketika itu, Tan Sri Bernard Dompok sebagai ahli kabinet Kerajaan Persekutuan bertungkus-lumus untuk mendapat kelulusan berkenaan dengan sokongan daripada Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar masa itu, Datuk Amar Douglas Uggah.

“Projek ini membabitkan pembesaran dan pendalaman sungai sekitar daerah Penampang dan daerah Putatan ini.

“Kerja projek ini sudah bermula di Putatan dan di Kibabaig. Walau demikian, selepas tahun 2013, selepas pembangkang mengambil alih sebagai Ahli Parlimen Penampang ketika itu, perjalanan projek ini terbantut hinggalah kini,” katanya.

Donald berkata, tidak mengambil kira dinamik politik yang berlaku, projek berkenaan harus disambung semula kerana ia membabitka kesejahteraan dan keselamatan rakyat.

Katanya, bencana banjir ini akan berlaku lagi dan amat menyedihkan serta perit melihat kesengsaraan rakyat di Penampang apabila bencana banjir melanda begitu kerap-kali saban tahun.

“Adakah kerajaan kini akan mengambil tindakan yang wajip dan sepatutnya? Itulah pertanyaan dalam kalangan rakyat Penampang.

“Selain itu, kita perlu sentiasa berunding dan mendapatkan nasihat daripada pelbagai pihak dalam memperincikan tindakan bersesuaian untuk menangani masalah banjir ini dan memastikan apabila ia berlaku lagi semua pihak lebih siap-siaga.

“Begitu juga dengan pembangunan yang dilakukan, ia perlu pemantauan rapi bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh,” tegasnya.

Sementara itu, Donald berkata, ketika lawatan ini ke Kampung Sugud, di sini, beliau amat terharu dan tersentuh hati melihat semangat kemasyarakatan yang begitu tinggi yang ditunjukkan dalam kalangan rakyat Sabah.

Katanya, ia amat jelas terbukti dengan bantuan yang dihulurkan kepada penduduk Kampung Sugud dan kampung-kampung lain yang terjejas di daerah Penampang.

“Inilah negeri Sabah dan rakyat Sabah yang sebenarnya. Menunjuk kasih sayang tanpa mengira bangsa, agama dan kepercayaan,”katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|