Kota Kinabalu: Dua lelaki ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas dipercayai melakukan aktiviti mengebom ikan di kawasan barat daya, Pelantar Minyak St Joseph, di sini, semalam.
Kegiatan berkenaan berjaya dikesan dalam operasi pemantauan yang dijalan bot ronda PPM di sekitar perairan daerah ini.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Roslan Awang berkata, kedua-dua suspek berusia 39 tahun yang menaiki bot pam ditahan untuk pemeriksaan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.
Katanya, hasil pemeriksaan kedua-dua suspek terbabit sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan dipercayai menggunakan bahan letupan.
“Hasil pemeriksaan lanjut terhadap bot berkenaan menemui beberapa peralatan yang disyaki digunakan bagi aktiviti pengeboman ikan.
“Selain itu, pasukan operasi PPM turut merampas pelbagai jenis ikan sebanyak kira-kira 50 kilogram,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Roslan berkata, pihaknya turut menjumpai beberapa botol berisi butiran berwarna putih dipercayai Baja Ammonia Nitrat.
Katanya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM8,762 termasuk bot pam yang digunakan kedua-dua suspek.
“Tangkapan dan rampasan kemudiannya dibawa ke Markas Operasi PPM Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 26 (1)(c) Akta Perikanan 1985 kerana disyaki menangkap ikan menggunakan bahan letupan,” katanya.
Sehubungan itu, Roslan berkata, PPM Wilayah Empat Sabah menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat melalui aplikasi WhatsApp PPM Wilayah Empat Sabah menerusi nombor 013-9391197.
Katanya, ia bagi memastikan kesalahan yang melanggari undang-undang negara dapat dibendung seterusnya mengekalkan keamanan dan keselamatan.
-Deasoka