Allahyarham Nilwan berjasa besar kepada Penerangan UMNO Sabah: Raime

Allahyarham Nilwan berjasa besar kepada Penerangan UMNO Sabah: Raime

Kota Kinabalu: “Allahyarham Datuk Nilwan merupakan sahabat baik, pemergian beliau adalah kehilangan besar buat Penerangan UMNO Sabah,” demikian luahan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Raime Unggi ketika dihubungi sebentar tadi.

Ulas beliau, pemergian bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak yang selaku Timbalan Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Nilwan Kabang hari ini amat mengejutkan dan menuntun jiwa seluruh ahli seluruh negeri.

Jelas beliau, jasa Allahyarham amat besar dalam perjuangan UMNO Sabah lebih-lebih lagi ketika mempertahankan parti keramat itu daripada diancam pelbagai pihak.

“Kita kehilangan seorang tokoh politik yang komited dalam parti.

“Sebagai orang lama, Allahyarham banyak memberi nasihat berguna terutamanya dalam Penerangan UMNO Sabah.

Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar (baju hitam) hadir dalam pengurusan jenazah Allahyarham Nilwan di Masjid Negeri Sabah, Kota Kinabalu, hari ini. (Gambar ihsan FB Datuk Bung Moktar Radin).

“Malah, suatu ketika dahulu apabila ramai lompat parti, beliau yang banyak memainkan peranan untuk menenangkan ahli-ahli UMNO Sabah supaya terus bertenang dan mempertahankan institusi parti keramat ini,” katanya.

Allahyarham Nilwan, 71, dirawat di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu sejak awal bulan ini selepas disahkan positif Covid-19 sebelum dilaporkan menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.45 pagi tadi.

Terdahulu, Raime yang juga ADUN Lantikan Sabah turut memperingatkan orang ramai untuk meningkatkan kesedaran terhadap pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha melandaikan jangkitan pandemik Covid-19, di negeri ini.

“Saya dalam masa sama juga mengambil kesempatan menyeru rakyat di negeri ini untuk terus mengamalkan SOP dan penjarakan sosial bagi mengekang penularan Covid-19.

“Bersama-sama kita beringat, pandemik ini amat berbahaya dan sambutlah saranan kerajaan untuk mengambil vaksin serta mengamalkan rutin harian secara norma baharu bagi kebaikan semua pihak,” katanya lagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|