PPM tahan lelaki cuba seludup masuk ayam sabung

PPM tahan lelaki cuba seludup masuk ayam sabung

Tawau: Seorang lelaki ditahan bersama empat ekor ayam dipercayai cuba diseludup masuk untuk aktiviti perjudian sabung ayam dalam operasi di kawasan perairan Laut Sungai Melayu, di sini, kelmarin.

Dalam operasi jam 12 tengah hari itu, lelaki berusia 24 tahun yang menaiki sebuah bot jongkong pada awalnya ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superintendan Ridzauddin Selamat berkata, semasa pemeriksaan dilakukan, pasukan operasi menemui tiga kotak kayu berisi empat ekor ayam.

Katanya, semua ayam berkenaan dipercayai jenis ayam sabung bali yang dibawa masuk dari negara jiran Indonesia.

“Juragan, bot jongkong dan semua ayam sabung berkenaan kemudiannya dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan selanjutnya.

“Semua rampasan dianggarkan bernilai RM29,400 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Ridzauddin berkata, kes akan dirujuk kepada Jabatan Veterinar cawangan Tawau untuk tindakan selanjutnya.

Sehubungan itu, Ridzauddin berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.

Katanya, maklumat boleh disalurkan secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0139391197.

“Maklumat juga boleh disalurkan secara terus ke Bilik Gerakan PPM Tawau di talian 089-983628 bagi memastikan kesalahan-kesalahan yang melanggari undang-undang negara dapat dibendung seterusnya mengekalkan keamanan dan keselamatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|