48,461 individu terima dos penggalak di Sabah setakat ini

48,461 individu terima dos penggalak di Sabah setakat ini

Kota Kinabalu: Seramai 48,461 individu sudah menerima dos penggalak vaksin COVID-19 di Sabah, sejak pemberian dos berkenaan dimulakan bulan lalu membabitkan barisan hadapan dan individu berusia 60 tahun ke atas.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Shahelmey Yahya, berkata pemberian dos penggalak kini turut dibuka kepada semua individu berusia 40 tahun ke atas dengan syarat mematuhi kriteria yang ditetapkan.

Kriteria itu katanya ialah penerima vaksin mesti sudah lengkap vaksin COVID-19 selama enam bulan bagi vaksin Pfizer dan melepasi tiga bulan bagi penerima vaksin Sinovac.

Setakat ini di negeri Sabah kita telah memberi dos penggalak kepada 48,461 orang penerima dan sebagaimana yang kita ketahui pada peringkat ini kita beri kepada petugas barisan hadapan dan juga mereka yang berusia 60 ke atas.

“Mereka yang berumur 40 tahun ke atas dan telah memenuhi kriteria untuk menerima dos penggalak boleh saja walk-in ke mana-mana PPV yang ada ataupun fasiliti kesihatan di tempat berdekatan dengan kediaman mereka untuk mendapatkan dos penggalak.

“Saya selaku Exco Kesihatan negeri Sabah amat mengalu-alukan agar mereka yang layak untuk menerima dos penggalak ini tampil ke hadapan.

“Begitu juga kepada mereka yang telah dimaklumkan oleh MySejahtera mengenai dos penggalak mereka, kita minta patuhilah jemputan tersebut untuk menerima dos penggalak.

“Satu perkara yang ingin saya ingatkan juga kerana kelmarin, saya membaca kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan dan Menteri Kesihatan mengenai angka R- Naught kebangsaan yang mencecah 1.04.

“Ini adalah satu peringatan atau amaran awal sekiranya kita tidak berhati-hati maka kadar jangkitan itu mungkin boleh meningkat naik kembali,” katanya ketika ditemui media pada program pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 untuk warga media di PPV Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Seramai kira-kira 140 petugas media diberikan suntikan dos penggalak vaksin jenis Pfizer sebagai pilihan utama, manakala vaksin Sinovac untuk pilihan kedua jika mengalami alahan terhadap vaksin Pfizer.

Shahelmey berkata, pemberian dos pengalak untuk petugas media sejajar tugas mereka sebagai sebahagian daripada barisan hadapan kerana media sentiasa bertugas dalam kelompok yang ramai.

“Untuk petugas media yang berada di luar Kota Kinabalu boleh pergi ke klinik kesihatan untuk mendapatkan dos penggalak mereka. Bagi PPV di SICC ini, ia akan beroperasi sehingga akhir bulan ini tetapi pemberian vaksin diteruskan di semua fasiliti kesihatan di seluruh negeri Sabah.

“Ada sebanyak 76 pusat pemberian vaksin di seluruh negeri dan lima hospital swasta yang turut memberi khidmat memberi vaksin secara percuma kepada rakyat negeri ini.

“SICC adalah PPV swasta jadi ia dibuka sehingga akhir bulan ini dan seterusnya pemberian vaksin diberi di fasiliti kesihatan ataupun klinik dan hospital swasta yang menjadi panel kepada program pemberian vaksin,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA), Muguntan Vanar, menyatakan penghargaannya kepada kerajaan negeri kerana mengadakan program pemberian vaksin pengalak untuk warga media di negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri banyak membantu warga media sejak dari awal pemberian vaksin dan kini disusuli pemberian dos penggalak.

“Saya berharap semua warga media tampil mengambil dos penggalak jika tiada sebarang masalah. Program ini juga terbuka kepada bukan ahli SJA, semua warga media boleh datang,” katanya.

Beliau berkata, SJA bekerjasama dengan KKJA untuk memasukkan nama ahli mereka dalam senarai dan merekapun semua hadir. Terima kasih kerana menyokong program ini, jika kita tidak sokong mungkin lain kali tiada lagi yang akan bantu menganjurkan program seperti ini untuk kita,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|