Enam penagih dadah ditahan

Enam penagih dadah ditahan

Papar: Enam penagih dadah ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, dalam operasi yang dijalankan di kawasan Kinarut, di sini, semalam.

Dalam operasi yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar itu, tiga yang ditahan adalah warga tempatan manakala tiga warga asing berusia lingkungan 20 hingga 30-an.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata, semua suspek ditahan selepas dipercayai terbabit dalam aktiviti penagihan dadah.

Katanya, semua suspek ini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Salah seorang suspek juga turut disiasat mengikuy Seksyen 39A (1) ADB 1952 selepas ditahan bersama rampasan dadah seberat 8.74 gram.

“Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap semua suspek turut didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Batholomew berkata, kejayaan tangkapan ini adalah usaha polis dalam mengatasi masalah penyalahgunaan dadah di daerah Papar.

Katanya, ia juga sebagai salah satu langkah terbaik dalam mencegah sebarang aktiviti jenayah di daerah Papar.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan dadah dan jenayah di daerah ini kepada pihak polis atau IPD Papar khususnya untuk tindakan segera,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|