Empat wanita sesat ketika aktiviti hiking, ditemui selamat

Empat wanita sesat ketika aktiviti hiking, ditemui selamat

Tawau: Empat wanita yang dilaporkan hilang ketika mendaki Bukit Pancang Tinagat, di sini, ditemui selamat oleh penduduk kampung malam tadi.

Semua mangsa dilaporkan hilang selepas menjalankan aktiviti mendaki bukit berkenaan sejak pagi, semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8 malam.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan empat anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.

“Semua mangsa berusia 25 hingga 27 tahun terbabit berdepan masalah untuk mencari laluan keluar dari bukit berkenaan.

“Pasukan Bomba bersama pasukan polis serta penduduk kampung kemudiannya menjalankan operasi mencari dan menyelamat di kawasan bukit berkenaan,” katanya dalam kenyatan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, semua mangsa akhirnya berjaya ditemui dalam keadaan selamat pada jam 12.34 tengah malam.

Katanya, mereka kemudiannya diperiksa bagi memastikan berada keadaan baik oleh pasukan EMRS sebelum semua mangsa pulang ke rumah masing-masing.

“Pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat pada jam 1 pagi,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|