Bung Moktar beri penjelasan isu jalan rosak di Sabah

Bung Moktar beri penjelasan isu jalan rosak di Sabah

Kota Kinabalu: Menteri Kerja Raya negeri, Datuk Seri Bung Moktar Radin mendedahkan ketidakcukupan peruntukan menjadi halangan utama menjejaskan kerja pembaikan atau menaik taraf jalan raya yang mengalami kerosakan di negeri ini.

Bung Moktar berkata, beliau juga sudah berusaha untuk mendapatkan peruntukan namun terbantut atas faktor kewangan dan faktor lain yang menyebabkan perancangan untuk melaksanakan kerja pembaikan atau menaik taraf jalan raya tergendala.

“Selaku Menteri Kerja Raya Sabah, saya telah berusaha dengan apa cara sekalipun untuk mendapatkan peruntukan bagi memperbaiki, menaik taraf dan memastikan jalan-jalan raya di Sabah dapat diurus dengan sebaik mungkin.

“Namun, hasrat saya terbantut disebabkan faktor-faktor kewangan dan faktor-faktor lain,” katanya dalam penjelasan di laman Facebook beliau mengenai isu kerosakan jalan raya di Sabah.

Ia susulan komen hangat netizen di laman sosial berkaitan masalah kerosakan jalan raya di seluruh Sabah ketika ini yang didakwa lambat ditangani oleh pihak berkuasa.

Netizen membandingkan keadaan itu dengan cerita penemuan ’emas’ di kawasan pembinaan jalan raya di Kampung Bongkol, Pitas, baru-baru ini yang cepat diambil tindakan berbanding isu jalan raya yang mengambil masa berpuluh tahun untuk diselesaikan.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri dan Ahli Parlimen Kinabatangan, berkata beliau memahami masalah yang dihadapi rakyat negeri ini memandangkan kawasannya di Kinabatangan juga mengalami masalah yang sama.

Terdahulu, beliau turut memberi penjelasan mengenai jenis jalan raya yang ada di Sabah dan peruntukan yang disediakan untuk menyelenggara jalan raya di negeri ini.

Jelasnya ada tujuh jenis jalan raya di Sabah iaitu Jalan Persekutuan, Jalan Negeri, Jalan Majlis-Majlis Daerah, Jalan Luar Bandar, Jalan Kampung, Jalan Kayu Balak dan Jalan Estate Kelapa Sawit.

“Dalam tujuh kategori jalan raya itu, Jalan Persekutuan, Jalan Negeri, Jalan Majlis-Majlis Daerah dan Jalan Luar Bandar memang mendapat peruntukan sama ada dari kerajaan persekutuan, kerajaan negeri atau daripada sumber lain.

“Jalan Kampung, Jalan Kayu Balak dan Jalan Estate Kelapa Sawit yang banyak mendatangkan masalah sebab jalan ini tidak berstatus dan terlalu sukar untuk diperbaiki sebab jalan seumpama ini tidak didaftarkan oleh Pejabat Daerah masing-masing kepada Kementerian Kerja Raya Sabah,” katanya.

Pada masa sama, katanya bagi kategori Jalan Persekutuan, Jalan Negeri, Jalan Majlis-Majlis Daerah dan Jalan Luar Bandar, peruntukan yang disediakan juga terhad.

Katanya, Jabatan Kerja Raya (JKR), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) persekutuan dan kerajaan negeri ada mengeluarkan peruntukan tetapi tidak mencukupi untuk dibelanjakan kepada semua jalan raya yang rosak atau yang memerlukan naik taraf kerana peruntukan terhad.

“Jadi kepada sesiapa yang tidak faham perkara ini, harap maklum dengan keadaan yang berlaku. Saya harap dengan penjelasan ini semua pihak memahami keadaan sebenarnya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|